suria

Nasib bergelar janda... Kawan-kawan jauhkan diri takut suami mereka dirampas Ezlynn

Ezlynn berharap kemunculcannya menerusi 'Goyang' akan mendapat sambutan ramai. FOTO: AFIQUE YUSOFF

SELEPAS rumah tangganya musnah dan menggalas status janda, Ezlynn akui ada rakan-rakan wanita yang mula menjauhkan diri daripadanya.

Katanya, dia sedar perkara itu disebabkan mereka bimbang statusnya yang kini kembali single menjejaskan hubungan rumah tangga mereka.

“Ya saya sedar kawan perempuan takut saya menganggu atau diganggu suami mereka.

“Setakat ini saya tidak akan ganggu suami orang, jangan risau. Saya cuba jauhkan cuma kalau sudah takdir Allah saya tidak boleh menolak,” ujarnya kepada mStar Online.

ARTIKEL BERKAITAN: “11 tahun bersama... Terasa sangat” - Ezlynn

Ezlynn atau nama sebenarnya Azline Ariffin, 37, ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya berjudul Pusing di Red Box The Garden, pada Selasa.

Dia dan Adam Fahmy bercerai talak satu pada 23 Oktober 2017 tanpa dikurniakan anak. Mereka berkahwin pada 20 November 2011.

Dalam pada itu, Ezlynn berkata, hatinya belum terbuka untuk memulakan hubungan cinta baharu.

Kata penyanyi lagu Hi Hi Bye Bye ini, dia masih berusaha untuk memadam memorinya selama sebelas tahun bersama bekas suami.

Dia juga belum bersedia membuka hatinya untuk menjalinkan cinta dengan mana-mana lelaki selepas perceraian itu.

Ezlynn berkata, banyak memori yang masih belum dapat dilupakan untuk memulakan kehidupan baharu.

“Saya memang sudah move on tapi memori sebelah tahun itu banyak dan susah nak buang. Saya perlu masa untuk padam dan mula yang baru.

“Sebelas tahun bukan buruk sahaja, ada banyak juga kenangan manis, itu yang membuat saya susah nak buang,” ujarnya.

Bagaimanapun, Ezlynn berkata, dia dan bekas suaminya tidak lagi berkomunikasi selepas bercerai secara sah.

Rambut baharu

Dalam pada itu sempena pelancaran lagu baharunya Ezlynn muncul dengan gaya rambut palsu warna-warni sesuai dengan judul karya itu, Goyang. 

“Saya mahu tampil segar dan berbeza kerana sudah 11 tahun saya masih terperangkap dengan imej Hi Hi Bye Bye. Imej ini inspirasi penyanyi antarabangsa Nicki Minaj.

“Kali ini saya mahu yang lebih ceria bersesuaian dengan lagu baru saya. Saya guna rambut palsu berbagai warna,” ujarnya.

Ezlynn berkata, dia kini mempunyai lebih 40 koleksi rambut palsu pelbagai warna.

“Saya sah buat persediaan beli 40 rambut palsu, nampak sahaja saya akan beli, macam-macam warna ada.

"Perbelanjaan itu kira-kira dalam lima ribu hanya untuk rambut palsu sahaja," ujarnya.

Dalam pada itu, Ezlynn berkata, single genre ‘fun ska’ itu dapat mengembalikan semangat baharu kepada dirinya dan pendengar yang senasib dengannya.

“Saya tidak mahu lagu-lagu sedih kerana betul juga orang kata lagu sedih sedikit sebanyak beri kesan dalam kehidupan kita.

“Saya mahu lagu ceria yang dapat kembalikan semangat saya dan pendengar lain,” ujarnya.

Lagu tersebut merupakan ciptaan Farikh Nadzir dan Adah Kahir.

Ezlynn

Artikel Lain