suria

Menang pelawak dunia, baki bayaran belum dapat! Harith Iskander saman penganjur

Harith Iskander memfailkan saman terhadap The Laugh Factory atas dakwaan gagal melunaskan baki wang kemenangannya berjumlah AS$70,000 (RM280,000) selepas menjuari pertandingan 'The Funniest Person in the World' pada Disember 2016.

PELAWAK terkenal Harith Iskander mengesahkan dia memfailkan saman terhadap pihak penganjur The Laugh Factory atas dakwaan gagal melunaskan baki wang kemenangannya berjumlah AS$70,000 (RM280,000) daripada AS$100,000 (RM400,000) selepas menjuari pertandingan 'Funniest Person in the World' pada Disember 2016.

Harith berkata, dia secara dasarnya tidak mempunyai niat untuk membawa perkara tersebut ke tahap itu namun pihak penganjur tidak memberikannya pilihan yang banyak dalam menyelesaikan perkara itu.

Kes saman itu pertama kali dilaporkan oleh portal Hollywood Reporter  yang berpusat di Amerika Syarikat pada akhir tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Gelaran 'Funniest Person In The World' Milik Harith Iskander

"Apabila artikel itu disiarkan, ramai bertanya sama ada ia benar, aduan masih berjalan di mahkamah jadi saya dinasihatkan oleh peguam di California untuk tidak mengulas mengenainya. Ia akhirnya rasmi.

Harith menuntut haknya sebagai pemenang Funniest Person in the World.

"Sejujurnya saya tiada niat untuk membawa perkara ini ke tahap sekarang namun pihak penganjur tidak memberi saya banyak pilihan," katanya di Instagram.

Menerusi pertandingan itu, Harith, 52, berjaya menumpaskan 89 pelawak dari 56 buah negara seluruh dunia yang diadakan di Polo Arena Levi, Finland.

Funniest Person in the World adalah sebuah pertandingan yang dianjurkan oleh Laugh Factory iaitu sebuah rangkaian lawak global berpangkalan di Amerika Syarikat

Ia mungkin nampak remeh tetapi banyak masa, tenaga dan kerja keras dan itu tidak termasuk lagi perbelanjaan yang digunakan untuk merialisasikan impian itu.

HARITH ISKANDER

PELAWAK

Menerusi laporan portal itu, Harith memberitahu sejak memenangi pertandingan itu dia hanya menerima bayaran AS$1,000 (RM4,000) selepas berjaya menjadi peserta 20 terbaik dan AS$30,995 (RM123,820) menerusi tiga kali bayaran daripada pihak penganjur.

Sementara itu, Harith berkata, ramai tidak mengetahui pelbagai cabaran telah ditempuhnya sejak menyertai dan memenangi pertandingan itu.

Harith dan isteri, Dr. Jazemine Lim. 

Namun kata Harith, semua usahanya itu berbaloi selepas berjaya meletakkan komedi dari Malaysia di mata dunia selain terharu dengan sokongan diberikan rakyat negara ini terhadapnya.

"Tujuan utama saya menyertai pertandingan itu adalah semata-mata untuk meletakkan nama Malaysia dalam peta dunia komedi dan saya teruja dapat melakukannya walaupun ia kecil.

"Ia mungkin nampak remeh tetapi banyak masa, tenaga dan kerja keras dan itu tidak termasuk lagi perbelanjaan yang digunakan untuk merialisasikan impian itu.

"Sokongan dan kata-kata sokongan yang saya terima daripada rakyat Malaysia sejak itu membuatkan semua usaha itu berbaloi," ujarnya.

Artikel Lain