suria

Insiden letupan pelantar, Faye Kusairi syukur adik terselamat dari maut

Faye bersyukur adik lelaki dan sepupunya terselamat daripada insiden letupan kilang petrokimia di Pengerang, Johor, pagi Jumaat.

PELAKON Faye Kusairi bersyukur apabila adik lelaki bersama seorang lagi sepupunya yang bertugas sebagai jurutera Petronas terselamat daripada menjadi mangsa insiden letupan kilang petrokimia di Pengerang Johor, pagi Jumaat.

Faye atau nama sebenarnya Dayangku Faratiwan Adnil Awang Kusairi, 33, berkata adik lelakinya itu sepatutnya bertugas pada hari kejadian namun terpaksa mengambil cuti untuk menemaninya ke Malaysia Speed Festival (MSF) Ahad ini.

"Malam tadi saya balik lewat sebab penggambaran. Tiba-tiba ada kawan yang hantar mesej mengenai berita itu membuatkan saya sangat terkejut.

"Adik saya sepatutnya bekerja pada hari kejadian tapi disebabkan dia terpaksa teman saya ke perlumbaan di Sepang Ahad ini, jadi dia apply cuti awal untuk persediaan kereta.

"Alhamdulillah, masa saya call rupanya malam tadi dia ada dekat bengkel. Sepupu saya pun terselamat," katanya ketika dihubungi mStar Online.

ARTIKEL BERKAITAN: Ada pihak busuk hati cuba nak tutup ‘periuk nasi’ Faye Kusairi

ARTIKEL BERKAITAN: Dua cedera susulan kebakaran, letupan di Pengerang

Faye memuat naik catatan berhubung trauma yang dialaminya 18 tahun lalu.

Faye turut berkongsi mengenai insiden itu di laman Instagram miliknya pada Jumaat.

Terdahulu, dua warga tempatan disahkan cedera dalam insiden kebakaran di satu daripada lot tapak projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) Pengerang, dekat Kota Tinggi awal pagi Jumaat.

Insiden itu turut menyebabkan gegaran yang dapat dirasai hingga ke Pasir Gudang.

Bercerita lanjut, Faye berkata dia pernah berdepan situasi sama ketika ayahnya bertugas sebagai pegawai keselamatan di sebuah pelantar minyak di Bintulu 18 tahun lalu sehingga menyebabkan dia trauma.

"Kejadian ini menjadi trauma kepada saya dan keluarga sebab perkara sama pernah terjadi sebelum ini ketika bapa saya bertugas di Bintulu. Ianya masih segar diingatan sebab melibatkan keluarga. Masa tu ayah saya bekerja sebagai superitendan.

"Ayah berada terlalu hampir dengan pelantar yang jaraknya tak sampai 1 kilometer pun. Dia akan menjadi individu terakhir yang akan keluar sekiranya terjadi apa-apa sebab tugas dia adalah untuk memindahkan mangsa, pastikan orang lain selamat baru dia boleh keluar.

"Masa tu tengah kecoh, media-media buat liputan pasal insiden tu tapi kami masih masih tak belum menerima khabar mengenai keadaan ayah ketika itu. Selepas satu hari baru kami dimaklumkan yang ayah selamat," ujarnya sebak.

Faye sibuk menjalani penggambaran bagi slot Samarinda

Selain itu, Faye turut memberitahu insiden malang itu sekali lagi meninggalkan kesan yang cukup mendalam buat dirinya.

"Saya sangat terkesan jika ada keluarga lain yang terkena atau kehilangan insan yang paling mereka sayang.

"Masih ada ramai rakan-rakan lain yang masih belum dapat dikesan. Kami sekeluarga sangat risau dengan insiden ini walaupun tak kenal tapi dah kerja sama-sama dalam industri, kami bimbang," ujarnya.

Bercerita mengenai perkembangan kariernya, Faye berkata dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran adaptasi novel Isteri Aku Kalis Cinta bagi slot Samarinda yang bakal menemui penonton Mei nanti.

Faye Kusairi

Artikel Berikut

Artikel Lain