suria

Nafiz Muaz tak cukup makan, sanggup kurang tidur sebab 'Terima Kasih Ibu'

Nafiz sentiasa mahu memberikan yang terbaik dalam setiap lakonannya. Foto Instagram: @nafizmuaz

PELAKON baharu Nafiz Muaz terkejut apabila drama lakonannya, Terima Kasih Ibu mendapat sambutan hangat penonton sehingga menjadi trending di laman sosial.

Nafiz, 21, berkata dia tidak dapat tidur dan makan secukupnya sepanjang menjalani penggambaran drama tersebut selama tujuh hari demi memberikan yang terbaik.

"Sejujurnya saya agak terkejut apabila drama itu mendapat sambutan yang hangat daripada penonton. Sampaikan ada kawan saya telefon beritahu yang drama tu dah jadi trending.

"Apa yang berlaku di luar jangkaan saya. Sepanjang menjalani penggambaran drama itu, saya tak cukup tidur dan makan.

Nafiz bangga dapat berlakon bersama pelakon berpengalaman seperti Azhan Rani yang banyak memberi tunjuk ajar.

"Orang dah beri peluang dan bayar, jadi saya perlu lakukan yang terbaik. Alhamdulillah saya bersyukur penonton menerima lakonan saya," katanya kepada mStar.

Nafiz yang memegang watak sebagai Nil Jibril Mikail mendapat pujian penonton yang rata-ratanya memuji bakat lakonannya biarpun masih baharu dalam industri hiburan.

Bakat pemilik nama Muhammad Nafiz Muaz Mat Nasir ini dicungkil menerusi Drama Festival Kuala Lumpur 2016 (DFKL2016).

Dalam pada itu, Nafiz yang pernah membintangi drama Cinta Tiada Ganti itu memberitahu dia tidak pernah memasuki mana-mana kelas lakonan.

Lakonan Nafiz sebagai Nil Jibril mendapat pujian penonton.

"Saya tak pernah masuk mana-mana kelas lakonan dan selama ini saya hanya belajar menerusi pelakon-pelakon berpengalaman ketika di set penggambaran.

"Buat masa sekarang pun, saya tak terfikir nak masuk kelas lakonan sebab bagi saya, lagi banyak yang saya akan dapat belajar apabila di set.

"Sebenarnya ibu yang menyedari bakat lakonan saya sejak kecil lagi dan dia juga yang suruh saya cuba dalam bidang ini," ujar Nafiz yang berasal dari Sungai Petani, Kedah.

Nafiz Muaz

Artikel Lain