BARU sebulan kehilangan bapa mertua, penyanyi Liza Hanim sekali lagi kehilangan insan tersayang apabila bapanya iaitu Abdul Halim Abd Razak meninggal dunia kira-kira pukul 8 malam Jumaat. Berita sedih itu dikongsikan Liza menerusi laman Instagram miliknya. “Innalillahiwainnalillahirojiun... DariNya kita datang, kepadaNya kita kembali. Sesungguhnya tiada kuasa yang lebih besar dari kuasaNya yang maha besar. “Ayah saya Haji Abdul Halim bin Haji Abd Razak telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi. “Dengan rendah diri saya ingin memohon jasa baik semua untuk mendoakan ayah agar ayah ditempatkan di kalangan orang-orang yang dikasihiNya,” tulisnya. Liza berkongsi berita duka kehilangan ayah tercinta di Instagram. Bapa Liza menghembuskan nafas terakhir di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) akibat kanser paru-paru. Terdahulu, Liza memaklumkan bapanya itu disahkan menghidap kanser paru-paru sejak awal April lalu. Jenazah arwah bapanya akan dibawa pulang ke rumahnya malam ini. Dalam pada itu, peminat dan rakan selebriti lain mengucapkan takziah di atas kehilangan itu.