suria

Hyper Act tak perlu kontroversi untuk promosi lagu - “Dah tua, malu la dekat anak isteri”

Kumpulan Hyper Act tidak perlu buat gimik bagi promosi lagu baharu.

KUMPULAN Hyper Act enggan dikaitkan dengan apa-apa kontroversi atau gimik murahan semata-mata untuk melariskan karya ciptaan mereka seperti yang kerap dilakukan kebanyakan artis tempatan.

Kumpulan yang dianggotai Akir, Loco, Ejam dan Firman ini juga berkata, faktor usia yang meningkat membuatkan mereka kini dahagakan dunia hiburan yang lebih matang.

"Dalam umur kami begini rasanya dah tak relevan nak buat kontroversi murahan bagi popularkan lagu, kami semua dah tua. Malu dekat anak dan isteri di rumah.

"Bagi la ruang tersebut kepada artis baru yang dahagakan perhatian malah kami dah merasa mendapat lebih 20 juta tontonan di Youtube, jadi tak ada masalah jika lagu baru tak mendapat sambutan," katanya kepada mStar.

Mereka berkata demikian selepas diminta mengulas persoalan tentang single terbaru berjudul Resolusi yang kurang mendapat perhatian.

Hyper Act selit unsur anime dalam single Resolusi.

Dalam pada itu, kumpulan yang sudah lebih 10 tahun ditubuhkan ini sedang giat merancang untuk mengalih bahasa beberapa lagu mereka ke bahasa Jepun berikutan sambutan daripada peminat tegar anime.

"Sebenarnya Resolusi memang dibuat untuk peminat anime, malah kesemua ahli Hyper Act juga merupakan peminat pelbagai siri kartun daripada negara matahari terbit itu.

"Kami ada beberapa rancangan untuk mengubah beberapa lagu ke bahasa Jepun dan sedang mencari ruang untuk bekerjasama untuk menghasilkan runut bunyi buat beberapa animasi tempatan," tambah mereka.

hyper act

Artikel Lain