PERKONGSIAN berkaitan hal peribadi di media sosial mampu mengeratkan hubungan antara selebriti dengan peminat. Selain perkembangan terbaharu kerjaya, ada di antara mereka yang gemar berkongsi aktiviti harian termasuklah masak untuk keluarga mereka. ARTIKEL BERKAITAN: Farahdhiya sindir netizen selepas ditegur perut buncit ARTIKEL BERKAITAN: Bawa watak OKU, lakonan Mira Filzah dibandingkan dengan Sheila Rusly - “Dia pelakon hebat, saya masih belajar” Siapa sangka ramai selebriti di Malaysia yang gemar memasak dan tidak lokek berkongsi resepi 'air tangan' sehingga sentiasa dinanti-nantikan oleh peminat. Berikut mStar senaraikan lima selebriti rajin berkongsi idea dan video masakan menyelerakan di laman sosial mereka. 1. Datin Paduka Eina Azman Eina terkenal dengan tagline 'is done' dalam setiap video masakannya. Biarpun memiliki begitu ramai pembantu rumah, pelakon cantik, Datin Eina Azman ternyata lebih selesa menyediakan hidangan makanan buat suami serta anak-anaknya. Lebih menarik apabila menu yang sering dikongsikan oleh aktres ini dekat di hati masyarakat kerana hidangan yang disediakan adalah masakan kampung seperti sambal tumis petai, masak lemak pucuk paku petai, ayam masak lemak cili padi dan banyak lagi. Antara perkongsian yang dimuat naik Eina di laman Instagram miliknya. Suaminya iaitu Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Harden menggemari masakan melayu tradisional yang dihasilkan Eina. Malah, trademark Eina pada setiap video masakannya yang menyebut 'is done' ternyata menjadi ikutan ramai dan menghiburkan peminatnya. 2. Sheila Rusly Sheila tidak lokek berkongsi idea dan resepi masakan. Ramai yang sedia tahu pelakon dan penerbit popular ini memang pakar dengan kemahiran memasaknya. Maka tidak hairanlah, jika dia memiliki buku masakan berjudul 'Sentuhan Rasa Sheila Rusly'. Sebut apa sahaja jenis masakan. Lauk moden, lauk kampung, kuih muih pun pasti tidak menjadi masalah buatnya. Perkongsian menu yang dimuat naik sering menjadi tarikan peminat di laman Instagram. Kalau dilihat telatahnya ketika di dapur, memang sempoi habis! Selain Sheila, anaknya Mika juga rajin menunjukkan bakat masakan di dapur. Bagi anda yang mencari idea untuk menu masakan, boleh melawat Instagram Shiela Rusly! 3. Tya Arifin Tya sering dipuji netizen gara-gara usahanya mempelajari masakan tempatan. Walaupun berasal dari tanah seberang, pelakon Indonesia yang juga isteri kepada Asyraf Khalid iaitu Tya Arifin sering menerima pujian atas usahanya mempelajari menu tempatan negara ini seperti Nasi Kerabu. Meskipun memiliki sejumlah 1.2 juta pengikut di Instagram, Tya bagaimanapun lebih memilih laman Youtube bagi berkongsi aktiviti sehariannya bersama peminat. Tya berkongsi detik cemas apabila penghasilan pastrinya tidak menjadi dan hampir membuatkan dapur Siti Nurhaliza terbakar. Dalam video yang dimuat naiknya itu, ahli keluarga termasuk bapa mentua iaitu Datuk Khalid Mohd Jiwa (Datuk K), suami, Asyraf dan adik iparnya Aazief dan Adib Khalid dilihat sering berselera menjamu air tangan Tya. Salah satu video yang menerima tontonan tertinggi ketika Tya berkongsi video berdepan detik cemas apabila penghasilan pastrinya tidak begitu menjadi sehingga mengakibatkan dapur ibu mentuanya yang juga penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza hampir terbakar! 4. Stacy Anam Stacy gemar berkongsi video masakan di laman sosial. Ini seorang lagi selebriti Malaysia yang cekap berada di dapur dan tidak lokek berkongsi idea dan resepi masakan yang ringkas dan mudah untuk dimasak. Semua video resepi yang dimuat naik penyanyi yang berasal dari Sabah ini semuanya nampak sedap-sedap belaka! Stacy berkongsi resepi dari negeri asal di laman Youtube sambil ditemani Akim. Malah, Stacy sering dipuji kerana menghasilkan menu tradisional dari negeri kelahiran dia dan suaminya. Antaranya, juadah hinava yang popular dalam kalangan penduduk Sabah dan juga laksa Johor yang menjadi kegemaran Akim. 5. Farahdhiya Selain cantik, Farahdhiya juga handal di dapur. Selain terkenal dengan kejelitaannya, selebriti ini begitu handal mengendalikan masakan di dapur. Pendek kata, beruntunglah sesiapa yang bakal memperisterikan Farahdhiya! Manakan tidak, pelakon dan penyanyi yang memiliki darah campuran Melayu Itali ini sangat mahir dalam masakan kampung mahupun barat selain gemar berkongsi masakan resepi ibunya. Antara menu yang pernah dikongsikan Farahdhiya adalah Kari Ikan Nyok Nyok, Daging dendeng, Masak Rendang Hijau Kerang dan banyak lagi. Farahdhiya berkongsi resepi ibu di laman Instagram miliknya. Farahdhiya yang terkenal dengan tanda pagar #fdcooked dan #fdkitchen ini pernah mencuri tumpuan gara-gara ada netizen yang mengkritik kuali masakan yang digunakannya kelihatan buruk. Tak kisahlah buruk atau tidak, asalkan masakan Farahdhiya semuanya buat kecur air liur!