suria

Kuat makan punca badan naik, Shaheizy Sam sedia kembalikan tubuh sasa dalam tempoh sebulan

Sam sedia tayang bentuk badan sekiranya diminta pihak produksi.

PELAKON Shaheizy Sam mendedahkan dia bersedia menurunkan berat badan dan kembali mendapatkan tubuh sasa sebelum penggambaran filem Polis Evo 3 yang bakal bermula pada bulan hadapan.

Menurut Sam, dia yakin mampu menurunkan berat badan sebanyak 10 kilogram dalam tempoh sebulan.

"Babak tayang badan salah satu perkara yang pihak produksi pasti akan minta.

"Selepas ini saya akan mula bersenam di gym untuk dapatkan balik susuk tubuh sama seperti dalam filem Polis Evo 1 dan 2. Insyallah saya boleh buat sebelum penggambaran bermula.

"Sekarang berat saya 80 kilogram, saya nak turunkan kepada 70 kilogram dan akan mula buat otot," ujarnya kepada mStar.

Sam ditemui ketika Majlis Pelancaran Shaheizy Sam 20 Days Challenge di Jaya Shopping Centre, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Antara perkongsian yang dimuat naik Sam di laman Instagram.

Dalam pada itu, Sam berkata, soal tayang badan di sesebuah filem tidak seharusnya dijadikan isu kerana ia dilakukan demi memenuhi tuntutan watak.

Suami pelakon Syatilla Melvin ini tidak menganggap perkara itu dijadikan umpan untuk menarik penonton ke pawagam.

“Watak itu memang memerlukan saya mempunyai susuk tubuh sasa. Apabila berlakon, saya lebih mementingkan jalan cerita dan pengisian sesebuah produksi.

“Soal pelakon tayang badan bukan isu yang perlu diperbesarkan kerana kami hanya memenuhi tuntutan watak.

“Jangan hanya lihat pada satu sudut kecil, seolah-olah pelakon sanggup tayang badan semata-mata untuk dijadikan umpan menarik penonton ke pawagam,” katanya.

Sementara itu, berkongsi tentang berat badannya yang bertambah, Sam mengakui bahawa dia sememangnya seorang yang kuat makan.

Jangan hanya lihat pada satu sudut kecil, seolah-olah pelakon sanggup tayang badan semata-mata untuk dijadikan umpan menarik penonton ke pawagam.

SHAHEIZY SAM

Pelakon

Malah, aktor itu sanggup pergi sehingga ke utara tanah air semata-mata untuk mendapatkan makanan yang dihajatinya.

"Mungkin orang tak tahu saya sebenarnya seorang yang kuat makan. Orang ramai tak tahu sebab saya tak pernah kongsi di Instagram,

"Saya sanggup memandu ke Pulau Pinang semata-mata inginkan nasi kandar!" ujarnya.

Sejak kebelakangan ini, Sam menjadi perhatian di laman sosial gara-gara berat badannya yang naik mendadak kerana nafsu makan yang tidak terkawal.

Lebih menarik, Syatilla gemar merakam aksi suaminya yang sering 'curi-curi makan' pada waktu malam.

Shaheizy Sam, Polis Evo 3

Artikel Lain