suria

Kenapa Noraniza Idris tidak dipilih pada konsert Karya Agung Pak Ngah? Ini penjelasan KP Istana Budaya

Noraniza Idris tidak tersenarai membuat persembahan pada Konsert Agung Pak Ngah di Istana Budaya.

KETIADAAN Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris pada konsert Karya Agung Pak Ngah yang bakal berlangsung di Istana Budaya November depan disebabkan konsep utama persembahan itu mengangkat lagu-lagu berbentuk teater.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, pemilihan artis yang dibuat mengikut kesesuaian lagu-lagu yang sudah dipilih.

"Konsert ini kita ketengahkan karya ketika dia berada di Kompleks Budaya Negara sampai ke Istana Budaya.

"Lagi pula kami fokus pada lagu-lagu teater dan bukannya lagu yang dibuat khusus untuk seseorang artis," ujarnya kepada mStar.


Konsert Agung Pak Ngah akan diadakan bermula 14 November depan selama dua hari. Foto: KAMARUL ARIFFIN.

Beliau menjawab soalan media berkaitan Noraniza Idris yang popular dengan lagu-lagu ciptaan Allahyarham Pak Ngah tidak tersenarai membuat persembahan.

Konsert Agung Pak Ngah akan diadakan selama dua hari mulai 14 November depan di Istana Budaya.

Pak Ngah atau Datuk Suhaimi Mohd Zain merupakan komposer terkemuka yang komited memperjuangkan irama Malaysia dan banyak memberi impak kepada kerjaya seseorang artis.

Selain itu, tambah Mohamed Juhari, dia juga melupakan hasrat untuk memanggil beberapa artis asal itu berikutan kekurangan bajet.

Asalnya memang berhasrat nak panggil artis-artis seperti Noraniza Idris, Syura, Datuk M Daud Kilau... tetapi kita ubah konsep kepada artis yang memberi harga kawan-kawan.

DATUK MOHAMED JUHARI SHAARANI 

KETUA PENGARAH, ISTANA BUDAYA

Katanya, barisan artis yang sudah dipilih memberi harga yang cukup bersesuaian dengan bajet yang disediakan.

"Asalnya memang berhasrat nak panggil artis-artis seperti Noraniza Idris, Syura, Datuk M Daud Kilau... tetapi kita ubah konsep kepada artis yang memberi harga kawan-kawan.

Penyanyi terkenal Datuk Seri Siti Nurhaliza adalah antara barisan artis yang bakal membuat persembahan bersama Orkestra Tradisional Malaysia.

Selain Siti, Ernie Zakry, Syamel, Asmidar dan Roger akan turut membuat persembahan.

"Kalau pada artis yang tidak meletakkan 'harga kerajaan' memang kami tak mampu!" ujarnya.

Dari kiri; Asmidar, Ernie, Siti Nurhaliza, Syamel dan Roger akan berkongsi pentas di Konsert Agung Pak Ngah.

Sementara itu, Siti Nurhaliza berkata, pemilihannya sebagai artis utama konsert itu disebabkan hubungan baik yang terjalin dengan pihak Istana Budaya.

Kata, dia mudah bekekerjasama dengan pihak Istana Budaya dalam menguruskan perjalanan konsert tersebut.

"Mungkin kerana saya adalah antara artis yang banyak menyanyikan lagu ciptaan Pak Ngah.

"Lagipun dalam apa-apa majlis adalah lebih mudah untuk abang Joe dan saya berhubung. Kalau ada event dan kerjasama yang begitu baik, telah memudahkan semua perkara dan akhirnya ia berjalan seperti dirancang.

"Ini adalah konsert Allahyarham dan saya hanya sebagai salah seorang artis jemputan sahaja," ujarnya.

Artikel Lain