suria

Elly Mazlein selamat bertunang, bakal jadi isteri cikgu dari Kelantan 17 Januari

Elly akan mendedahkan wajah bakal suami pada malam berinai.

PENYANYI Elly Mazlein mengikat tali pertunangan dengan jejaka pilihannya yang juga seorang guru, Mohamad Azlan, 29, di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada Selasa.

Menurut laporan Berita Harian, pasangan ini dijangka bakal melangsungkan perkahwinan pada 17 Januari depan.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana majlis ini berjalan lancar seperti dirancang. Saya terharu apabila melihat wajah kesayangan turut hadir memeriahkan permulaan hari bermakna dalam hidup saya ini.

ARTIKEL BERKAITAN: “Izinkan aku merasa detik ini” - Elly Mazlein dirisik keluarga kekasih

ARTIKEL BERKAITAN: Elly Mazlein tayang sanggul lintang, pelamin untuk malam berinai, “Bila majlis kahwin, tak sabar nak tengok!”

"Doakan juga semoga segala urusan kami menuju ke gerbang perkahwinan dipermudahkan Allah. Memandangkan ini perkahwinan pertama suami, saya mahu setiap majlis menjadi kenangan terindah buat kami berdua,” katanya.

Elly Mazlein mengadakan majlis pertunangan penuh meriah.

Sebagai tanda ikatan, ibu kepada Azlan iaitu Zaitun Abdullah menyarungkan sebentuk cincin pada jari manis penyanyi yang popular dengan lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan itu.

Pada majlis yang dihadiri hampir 200 tetamu itu, pihak lelaki turut menghadiahkan lima dulang hantaran, berbalas tujuh daripada pihak perempuan.

Bagaimanapun, dalam majlis pertunangan yang berlangsung penuh meriah itu Elly masih belum mendedahkan wajah bakal suaminya itu.

Terdahulu, Elly atau nama sebenar Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 39, membuat pengakuan sedang dilamun cinta dengan jejaka berasal dari Kelantan dan merancang untuk mendirikan rumah tangga, tahun depan.

Dia yang menggelarkan tunangnya sebagai ‘Papa Awan Nano’ memaklumkan akan mendedahkan wajah lelaki itu pada malam berinai yang akan diadakan bulan depan.

Elly Mazlein

Artikel Lain