suria

Impian Ramli Sarip buat konsert di Capitol Theatre, Singapura tercapai

Impian Datuk Ramli Sarip tercapai apabila dapat membuat persembahan di Capitol Theatre,Singapura

PENYANYI rock Datuk Ramli Sarip bersyukur apabila impiannya untuk membuat persembahan di Capitol Theatre, Singapura akhirnya menjadi kenyataan pada 7 Mac depan.

Menurut Ramli, konsert Lefthanded Seruan X Ramli Sarip Live in Singapore yang bakal diadakan pada 7 Mac depan menjadi pencapaian luar biasa buat kerjaya seninya.

"Saya pernah menanam hasrat untuk membuat satu konsert akustik di sana kerana ia adalah pencapaian yang luar biasa.

"Saya membesar di Singapura dan sudah menjadi impian saya untuk beraksi di tempat saya membesar. 

"Alhamdulillah, tak sangka impian saya menjadi kenyataan terutama dapat bersama dengan kumpulan Lefthanded," katanya kepada mStar.

Ramli ditemui ketika sidang media Konsert Lefthanded Seruan X Ramli Sarip live in Singapore di Subang Jaya, baru-baru ini.

Ramli Sarip dan kumpulan Lefthanded pada sidang media baru-baru ini.

Sementara itu, Ramli berkata, gandingan bersama Lefthanded menjadi sebuah penghargaan buat dirinya.

"Apabila mereka (Lefthanded) tawarkan untuk beraksi bersama, saya terus terima dengan hati yang terbuka.

"Dapat menjayakan konsert ini bersama kumpulan Lefthanded adalah satu penghormatan besar buat saya kerana mereka adalah kumpulan yang terhebat di dalam industri rock Malaysia.

"Saya juga mengharapkan konsert ini dapat menjadi kenangan yang terindah untuk saya dan juga Lefthanded sampai bila-bila," ujarnya.

Konsert sempena empat dekat Lefthanded itu bakal menyaksikan persembahan selama dua jam dengan 26 buah lagu.

Antara lagu yang bakal dinyanyikan ialah Seruan, Keadilan, Lanun, Debunga Wangi, Ku Di Halaman Rindu dan Tiada Kidungmu.

Harga tiket bermula $98 (RM296) dan boleh melayari www.ogoffgrid.com untuk maklumat lanjut.

Ramli Sarip, Lefthanded, Konsert

Artikel Lain