suria

“Ada masa saya sedih, tertekan dan menangis” - Nora Ariffin akui kematian suami beri kesan mendalam berbanding anak

Nora Ariffin kuatkan diri berdepan ujian kehilangan dua insan tersayang.

KEHILANGAN dua insan tersayang dalam tempoh yang singkat merupakan ujian terbesar buat penyanyi Nora Ariffin.

Meskipun pemergian suami lebih meninggalkan kesan mendalam, Nora, 46, berkata kehilangan anak turut menyentuh hati nalurinya sebagai seorang ibu.

"Perginya dua insan tersayang merupakan satu ujian dan rasa kehilangan yang berbeza... mungkin suami lebih mendalam kerana dia adalah teman kita, soulmate dan tempat kita menangis dan susah senang bersama.

ARTIKEL BERKAITAN: “Rindu tak terkata… dia tak pernah mati” - Nora Ariffin

ARTIKEL BERKAITAN: “Allah uji saya lagi...” - Anak Nora Ariffin meninggal dunia selepas rebah di rumahnya

"Kalau anak mungkin agak terhad tapi anak ini kita yang lahirkan, mengandungkan dan jaga mereka sehingga besar, itu bezanya tapi perasaan sayang tak ada beza.

"Saya terima dan reda dengan pemergian mereka kerana saya sentiasa ingat satu benda iaitu Allah berhak bagi pinjam yang terbaik untuk kita dan apabila tiba masanya, Dia akan ambil semula. Itu sudah ketentuan Allah, kita terima dan bersangka baik dengan semua ini," katanya kepada mStar.

Nora reda dengan pemergian dua insan tersayang.

Penyanyi lagu Ada Dalam Tiada ini ditemui semasa majlis pelantikannya sebagai wajah untuk produk kecantikan Preetian yang diadakan di Glamhall Mercu Mustapha Kamal, Petaling Jaya, Selangor pada Khamis.

Pada 14 Disember tahun lalu, anak kedua Nora iaitu Muhammad Syakir Alif Johan, 20, meninggal dunia secara mengejut apabila tiba-tiba rebah ketika berada di kediaman mereka.

Kita berserah dan doakan yang terbaik, kalau tiba masanya sampailah nanti. Kalau nak cari yang macam arwah memang tak akan jumpa yang sama!

NORA ARIFFIN

PENYANYI

Nora sebelum ini turut kehilangan suaminya, Johan Nawawi yang juga seorang komposer ternama pada 24 Mac 2017.

Dalam pada itu, Nora mengakui bukan mudah berdepan ujian tersebut, namun dia sentiasa berpegang kepada tiga prinsip ketika diuji.

"Saya pun bukanlah orang yang kuat! Saya manusia biasa dan tak dapat nafikan ada masa turut bersedih dan tertekan, masa itu saya akan menangis!

Kehilangan suami lebih meninggalkan kesan mendalam dalam hidup Nora.

"Bagaimanapun, saya berpegang kepada tiga perkara iaitu sentiasa bersabar... walau apa berlaku kena banyak sabar, keduanya kena belajar reda.

"Sedih itu boleh tapi janganlah terlalu over dan sentiasa bersyukur dengan apa yang kita ada. Kadang-kadang kita terlepas pandang tentang syukur ini dan ingat ia hanya untuk benda baik... sebenarnya ketika ditimpa musibah kita kena bersyukur juga sebab itu petanda Allah nak kita jadi lebih baik," ujarnya.

Ditanya adakah dia sudah bersedia mencari pengganti arwah suami, Nora berkata dia meletakkan kepada ketentuan jodoh.

"Kita berserah dan doakan yang terbaik, kalau tiba masanya sampailah nanti. Kalau nak cari yang macam arwah memang tak akan jumpa yang sama.

"Saya pun tak mencari... cuma kalau satu hari nanti ada yang datang dan anak-anak okay, saya okay! Tapi buat masa ini tak ada lagi, sekadar kawan-kawan," ujarnya.

Nora Ariffin

Artikel Lain