suria

“Dia pernah mesej tanya sesuatu... tapi hajat itu tak kesampaian” - Siti Sarah sebak terkenang arwah Lok U

Siti Sarah sebak terkenang pemergian arwah Lok U.

PEMERGIAN mengejut komposer terkenal Allahyarham Lok U atau nama sebenar Faizal Uzir pada 22 Januari lalu masih dirasai oleh penyanyi, Siti Sarah Raissuddin.

Mengakui bersahabat baik dengan Lok U, Sarah berkata dia masih teringat perbualan akhir mereka menerusi mesej peribadi beberapa hari sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir.

"Selepas dia meninggal, saya mengalami kebimbangan (anxiety) yang teruk... sebelum itu dia ada mesej saya bertanya mengenai pembukaan kafe Bubble Bee dan saya betul-betul tak ingat nak ajak dia datang pada waktu itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuzik terkenal Lok U meninggal dunia selepas balik joging

ARTIKEL BERKAITAN: Anak menangis lihat tudung Siti Sarah ditarik Syafiq Kyle

"Dalam perbualan itu dia ada bertanya mengenai bisnes dan saya kata kalau betul-betul berminat kita boleh bantu, saya tak pasti apa hajat dia sama ada nak buat bisnes atau hanya sekadar nak tengok-tengok dulu.

"Tapi nampaknya hajat dia tak kesampaian, sampai hari ini saya rasa sangat kesal kerana tak dapat memenuhi permintaannya itu," katanya kepada mStar.

Lok U banyak beri semangat dan nampak bakat Siti Sarah.

Siti Sarah ditemui semasa majlis pelancaran single terbaharu nyanyiannya berjudul Dap... Dap... Dap... yang diadakan di pejabat syarikat rakaman Indigital Sdn Bhd di Metropolitan Square, Petaling Jaya, Selangor pada Jumaat.

Lok U meninggal dunia di rumahnya di Puncak Jalil, Seri Kembangan, Selangor pada 22 Januari lalu kerana sesak nafas dan rebah selepas pulang melakukan aktiviti joging.

Lok U percaya pada bakat saya, dia selalu yakinkan saya!

SITI SARAH

PENYANYI

Sementara itu, Sarah berkata Lok U kerap memberikan kata-kata semangat kepadanya untuk terus kekal berada dalam industri muzik tanah air.

"Dia antara orang yang percaya pada bakat saya, kita semua tahu Lok U orang besar dalam industri dan dia selalu yakinkan saya dan beritahu saya ada bakat besar.

Sarah hadir dengan single baharu berjudul Dap... Dap... Dap...

"Kalau nak tahu, sebenarnya kita ada perancangan untuk rakam lagu baharu menggunakan khidmat susunan muzik oleh Lok U tapi sekarang dia dah tiada!," katanya yang akan tetap meneruskan projek tersebut meskipun tanpa komposer berkenaan.

Bercakap mengenai lagu Dap... Dap... Dap..., single terbaharu ini merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh penyanyi dan komposer muda, Yonnyboii.

Tampil dengan genre yang lebih segar, Sarah memberitahu dia mencari sesuatu kelainan dalam muzik dengan menggunakan tajuk lagu yang lebih catchy.

Lagu baharu ini ditujukan kepada suami tersayang, Shuib.

"Sejujurnya saya nampak bakat besar pada Yonnyboii dan berpendapat dia boleh pergi jauh dalam bidang ini, jadi tak salah kita bagi peluang.

"Kita ikut peredaran muzik semasa dan bawa kelainan berbanding genre sebelum ini, idea sepenuhnya dari Yonny sendiri dan boleh dikatakan 80 peratus adalah hasil kerjanya.

"Tentang tajuk lagu? Kita pilih Dap... Dap... Dap... sebab lebih catchy! Ada dua makna sama ada manis atau sedap, kalau guna tajuk 'Manis' tu terlalu klise, jadi kita pilih tajuk yang lebih mudah diingati," ujarnya.

Lagu tersebut kini sudah boleh didengar di semua platform digital dan video muzik (MV) akan akan dilancarkan tidak lama lagi.

Siti Sarah, Lok U, Shuib

Artikel Lain