BELUM lagi reda kontroversi hubungan cinta dengan bintang muda skuad Johor Darul Takzim (JDT) Safawi Rasid, pelakon Syifa Melvin kini dikecam memperlekehkan golongan kurang berkemampuan. Enggan memanjangkan isu, Syifa, 26, memohon maaf atas salah faham yang berlaku disebabkan kenyataannya mengenai penduduk rumah setinggan dan penghuni Perumahan Rakyat Miskin Tegar (PPRT). ARTIKEL BERKAITAN: “Berhenti panggil Safawi bodoh, anda semua tak tahu cerita!” - Syifa Melvin sedih Safawi Rasid terima kata-kata cacian pada hari lahir Pemilik nama Nur Syifa Athirah Amirol Melvin ini mengakui kesilapannya namun dia tidak mempunyai niat untuk menghina mana-mana pihak. Antara komen netizen di laman Twitter. "Sejujurnya saya bukan nak menghina sesiapa yang duduk di rumah setinggan atau PPRT. Tidak sama sekali dan jauh di hati saya nak menghina. "Tapi bila orang dah salah faham, saya perlu bertanggungjawab. Saya minta maaf atas salah faham yang berlaku. Saya tidak ada niat nak berkata begitu. "Apa yang saya maksudkan adalah mengenai jenis kain dan warna turban itu yang nampak mahal. Di mana saja anda pakai turban itu akan memberikan keyakinan diri. "Itu sebenarnya maksud saya. Tetapi kenyataan itu disalah tafsir segelintir pihak. Apa-apa pun, saya akui ia tetap salah saya," katanya kepada mStar. Saya minta tolong kepada semua pihak jangan membuat spekulasi sendiri dengan penulisan anda yang tidak betul. SYIFA MELVIN PELAKON Syifa diminta mengulas mengenai video yang mengatakan penampilan seseorang individu akan nampak mahal apabila memakai turban seperti yang digayakannya walaupun tinggal di rumah setinggan dan PPRT. Video yang memperlihatkan dia bersama seorang jurusolek sedang membuat tutorial memakai turban mengundang kecaman netizen di laman sosial. Rata-rata netizen berang dengan kenyataan adik kepada pelakon Syatilla Melvin itu yang dianggap seakan-akan menghina golongan bawahan. Malah, personaliti TV3 iaitu Ahmad Fedtri Yahya turut memberi pendapat ramai penduduk rumah setinggan mempunyai pendidikan tinggi dan kemewahan tidak menjaminkan kemuliaan daripada Allah. Syifa berharap semua pihak berhenti membuat spekulasi sendiri. Dalam pada itu, Syifa berharap tidak ada mana-mana pihak cuba mengeruhkan lagi keadaan. "Saya minta tolong kepada semua pihak jangan membuat spekulasi sendiri dengan penulisan anda yang tidak betul. "Nanti hanya menambahkan dosa netizen yang hanya membaca dan menilai daripada penulisan itu sedangkan saya tidak bermaksud sebegitu. "Bila anda tulis cerita tak betul, anda yang menambah dosa sendiri dan orang lain juga," ujarnya.