PENDAKWAH BEBAS Pencetus Ummah (PU) Abu Sufyan meluahkan rasa rindu terhadap arwah ibunya Habibah Abdul Rasit yang meninggal dunia genap empat tahun lalu iaitu pada 21 April 2016. Abu atau nama sebenarnya Abu Sufyan Muhamad Mokhtar Rozaidi berkata, arwah ibunya bertarung dengan kanser payudara selama dua tahun dan akhirnya meninggal dunia ketika mereka dalam perjalanan ke hospital. ARTIKEL BERKAITAN: “Aku bukan ustaz, aku tak layak diangkat sebagai role model” - PU Abu malu dengan diri sendiri, popular sebab kontroversi Abu turut menyifatkan Allahyarham ibunya seorang yang sentiasa gembira dan teruja apabila setiap kali ingin melakukan persediaan untuk menyambut perayaan bersama keluarga. Abu sangat merindui arwah ibunya. "Ummi bertarung dengan penyakit kanser payudara lebih kurang dua tahun. Ummi saya meninggal di riba saya di dalam kereta ketika kami dalam perjalanan ke hospital. "Ummi selalu jadi tunjang keluarga, dialah yang menyatukan kita semua sebab bila ada perayaan dia yang paling semangat. Selalu ajak ayah jalan-jalan dan bawa kami semua. "Paling penting yang saya tak boleh lupa, ummi adalah seorang yang gembira. Bila ummi dah tak ada sekarang banyak benda jadi macam hilang. Mujur masih ada kakak yang akan susun majlis atau perayaan sampai jadi," katanya kepada mStar. Bila ummi dah tak ada sekarang banyak benda jadi macam hilang. ABU SUFYAN PENCETUS UMMAH Pendakwah bebas itu turut memuat naik status luahan kerinduan dan berkongsi gambar ketika berada di pusara arwah ibunya di laman Instagram pada Selasa. Dalam pada itu, Abu turut menasihatkan orang ramai untuk selalu menghargai ibu yang masih ada kerana dia percaya bahawa insan itulah yang dapat memahami anak-anaknya selalu. "Korang yang ada mak tu hargailah, sebab dia hanya satu dalam dunia. Jujur saya cakap takde orang boleh ganti ummi untuk hadap kerenah saya yang pelik. Ummi kita jumpa dekat sana ye nanti? Sayang ummi sampai syurga," ujarnya. Bapa dan arwah ibu kepada Abu Sufyan. Pelbagai reaksi yang diberikan netizen di ruangan komen dan rata-rata mereka turut memberikan kata-kata semangat. "Sedih pula rasa bila mak dah tiada memang kita takkan rasa lagi suasana macam bila dia masih ada. "Takziah, terus kuat dan teruskan berdoa untuk ummi abang. Semoga kuat bro, Al-fatihah," tulis beberapa netizen.