suria

Apa kelemahan Dr Mahathir yang orang tak tahu? Tun Siti Hasmah buat pengakuan terbuka - “Tak nampak kelemahan, selalunya saya yang kalah”

Siti Nurhaliza ada bertanyakan soalan peribadi kepada Dr Mahathir dan Dr Hasmah menerusi sesi IG Live.

PELUANG penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza menemuramah bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah secara 'live' di Instagram pada Selasa menarik perhatian netizen.

Menerusi sesi berkenaan, Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin, 41, bertanyakan beberapa soalan peribadi kepada Dr Hasmah antaranya mengenai kelemahan Tun M yang tidak diketahui umum.

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nurhaliza tubuh dana hulur bantuan kepada rakyat Malaysia

"Saya tak nampak kelemahan dia, selalunya saya yang kalah. Tapi ada kelemahan dia bila orang nak bercakap dengan dia, semuanya kata boleh. Tapi sekarang lebih mudah, tak perlu datang rumah hanya boleh berkomunikasi melalui video," ujarnya.

Sesi IG Live Siti Nurhaliza bersama Tun M dan Tun Hasmah.

Selain itu, Dr Hasmah turut berkongsi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka hanya dapat berhubung dengan anak-anak dan cucu meneurs video sahaja.  

"Kami bersyukur dapat berhubung dengan masyarakat dan keluarga juga. Di rumah ini, hanya ada kami berdua saja, ahli keluarga yang lain di rumah masing-masing.

"Jadi, Marina akan aturkan satu video call dengan anak-anak, menantu dan cucu untuk berkumpul dan berkomunikasi. Seronok dapat tengok cucu-cucu," kata Dr Hasmah.

Duduk rumah, kalau tak buat senaman, tak baik untuk kesihatan.

TUN DR MAHATHIR MOHAMAD

BEKAS PERDANA MENTERI

Sebelum ini, pengacara dan usahawan terkenal iaitu Neelofa turut membuat sesi Instagram live bersama figura yang disanjungi ramai pada 20 Mac lalu.

Neelofa melalui sesi Instagram live tersebut mengakui perniagaannya terkesan akibat penularan wabak Covid-19 yang melanda dunia pada ketika ini.

Berikutan itu, dia mengambil peluang dengan mendapatkan nasihat bagi menghadapi situasi ini lebih-lebih lagi selepas kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Dalam pada itu, negarawan ini turut berkongsi rutin harian mereka antaranya melakukan senaman sepanjang tempoh PKP.

"Kali ini luar biasa. Saya sudah biasa aktif buat kerja, jumpa orang dan sebagainya tetapi oleh kerana PKP, terpaksa berada di rumah. Saya cari benda-benda yang saya boleh lakukan.

Siti Nurhaliza dan suami, Datuk K bersama pasangan figura yang disanjungi.

"Saya banyak masa untuk membaca dan menulis. Saya lakukan senaman menggunakan treadmill dan berbasikal dalam rumah sahaja.

"Tapi boring sebab lakukan benda yang sama, tak ada benda baru. Itu jadi masalah sebab boring," kata Dr Mahathir.

Manakala Dr Hasmah pula memberitahu dia akan melakukan senaman selepas sarapan pagi dan menghabiskan waktu dengan perkara yang ingin dilakukan di rumah antaranya bermain muzik.

"Saya pun serupa juga, bangun pagi mandi selepas solat subuh, saya akan breakfast kemudian lakukan senaman yang diperlukan. Tulang, otot dan sendi saya perlu dilonggarkan.

"Kita lama duduk dan tidur, perlu gerakkan semula. Saya akan buat selang sehari guna walker.

"Saya tak boleh membaca, mata tak nampak, perlihatan saya kurang, jadi satu saja yang boleh buat, main muzik," ujarnya.

Artikel Lain