suria

Lancar single ketika PKP, penyanyi baharu Fadh Majid dituduh tak sensitif - “Ada kerja terpaksa dilaksanakan, meskipun dalam situasi ini”

Fadh tetap melancarkan single terbaharunya, Bukan Takdirku meskipun negara kini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

BAHARU sahaja ingin menapak dalam industri muzik, nampaknya penyanyi baharu Fadh Majid mula mendapat perhatian ekoran tindakannya melancarkan single berjudul Bukan Takdirku ketika negara sedang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ada merasakan tindakannya itu sebagai tidak sensitif terhadap situasi semasa dan Fadh sepatutnya menunggu masa sesuai berbuat demikian.

Menjawab mengenai perkara itu, Fadh atau Muhammad Fadhlullah Abdul Majid memberitahu dia bukannya melakukan pelancaran secara besar-besaran sebaliknya hanya menerusi platform media sosial, Instagram dan Bigo.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak dapat balik Sabah, Andi Bernadee sedih sambut Ramadan tanpa keluarga - “Memang rindu tapi tak boleh nak buat apa!”

"Kerana menghormati PKP saya mengambil keputusan lancarkan single baru saya di Instagram dan Bigo.

"Bukan tak sensitif tapi ada sesetengah kerja terpaksa dilaksanakan, meskipun dalam situasi getir seperti sekarang... tambahan pula pelancaran ini sudah lama dirancang jadi tak boleh tangguh," jelasnya.



Fadh berharap Bukan Takdirku mendapat sambutan pendengar.

Dalam pada itu, Fadh berkata, meskipun tidak dapat membuat majlis pelancaran seperti dirancang namun dia bertuah kerana masih boleh menggunakan pelbagai medium di laman sosial bagi mempromosikan lagunya itu.

"Sekarang adalah masa untuk kreatif dan gunakan apa sahaja sumber yang ada dan paling penting ia sampai kepada pendengar. Insya-Allah jika ada rezeki pasti saya akan buat majlis lebih sempurna selepas ini," katanya.

Menyedari situasi sekarang, Fadh juga menerima sekiranya Bukan Takdirku gagal mendapat perhatian pendengar namun dia masih belum berputus asa bagi memperkenalkan muziknya kepada peminat.

Bercakap mengenai lagu itu, Fadh yang menulis sepenuhnya lagu tersebut memberitahu ia mengisahkan mengenai percintaan yang terputus di tengah jalan.

"Biasanya apabila bercakap mengenai lagu putus cinta, ia dizahirkan dengan perasaan benci, kesal, menyalahkan pasangan, dendam dan emosi yang bercampur-baur. Jarang lirik lagu putus cinta mengangkat konteks perpisahan sebagai takdir Allah yang harus diterima dengan hati terbuka.

“Bapa selalu berpesan, jangan terlalu terbawa-bawa dengan perasaan amarah apabila kecundang dalam percintaan. Jauhi perasaan dendam dalam hati. Seharusnya pemergian insan yang dikasihi mungkin Allah menjanjikan sesuatu lebih baik dalam kehidupan akan datang” katanya.

Fadh Majid, Bukan Takdirku, PKP, Covid-19

Artikel Lain