SEPANJANG tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai selebriti dan orang kenamaan mengambil peluang menghulurkan bantuan kepada masyarakat yang memerlukan. Tidak terkecuali pelakon Ruhainies yang turut memberikan sumbangan peribadi kepada saudara-mara dan peminat yang terkesan dengan penularan wabak Covid-19. Meskipun pada awalnya enggan berkongsi mengenai bantuan amal yang dilakukan, Ruhainies berkata dia mempunyai sebab tersendiri tidak menghebahkan sumbangan yang dilakukan. ARTIKEL BERKAITAN: Ruhainies sudah biasa berjauhan dengan teman lelaki - “Tiada masalah kalau tak jumpa sepanjang PKP!” "Saya sebenarnya tak mahu bercerita mengenai bantuan yang diberi sebab takut orang salah anggap dan fikir kita hanya nak menunjuk-nunjuk, jadi saya rasa lebih baik bagi secara diam-diam. "Awalnya saya terima banyak Whatsapp dari kawan-kawan dan peminat di Instagram yang bercerita mengenai kesempitan hidup mereka sepanjang PKP ini... bila saya semak memang mereka memerlukan. Ruhainies buat pindahan wang kepada peminat yang berdepan kesempitan sepanjang PKP. "Saya dahulukan orang yang rapat seperti keluarga, adik beradik, saudara-mara dan peminat yang sentiasa menyokong saya sejak dahulu. Tak mahulah kita sibuk bantu orang jauh, rupanya orang yang dekat dengan kita masih belum dibantu," katanya kepada mStar. Dalam pada itu, Ruhainies berkata dia juga mempunyai keinginan untuk turun padang membantu masyarakat dan peminat yang memerlukan. Bagaimanapun, dia terpaksa melupakan hasrat itu kerana enggan mengambil risiko membabitkan kesihatan ibu bapanya di rumah. Ruhainies memilih untuk membantu orang terdekat terlebih dahulu. "Sebenarnya saya nak sangat turun padang hantar bantuan kepada peminat yang memerlukan tapi memandang risiko yang ada, jadi saya memilih untuk buat pindahan (transfer) wang sahaja. "Saya bimbang keselamatan ibu dan ayah kerana mereka pun bukan sihat sangat, takut nanti kalau beri kesan kepada kesihatan mereka kerana kami semua tinggal serumah. "Sambil duduk rumah pun saya boleh bantu, antaranya buat review perniagaan peminat di Instagram secara percuma... sekurang-kurangnya dapat membantu menjana pendapatan mereka diwaktu sukar begini," katanya yang menggunakan wang simpanan sendiri bagi membantu mereka yang memerlukan. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!