suria

Faizal Tahir kecewa orang ramai dah berpusu-pusu beli makanan - “Bersabarlah! Ini baru dilonggarkan sikit saja”

Faizal Tahir menegur sikap segelintir masyarakat yang abaikan soal keselamatan sebelum PKPB bermula pada Isnin.

MESKIPUN fasa keempat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) baru bermula Isnin, namun sudah ada segelintir masyarakat mula mengambil peluang keluar beramai-ramai di tempat awam pada Ahad lalu.

Ini selepas tular beberapa rakaman video di laman sosial memperlihatkan orang ramai mengabaikan kepentingan penjarakkan sosial.

Bengang dengan tindakan segelintir masyarakat itu, penyanyi Faizal Tahir menegur sikap tidak bertanggungjawab mereka dan meminta orang ramai bersabar bagi memastikan penularan wabak Covid-19 ini boleh dikawal.

ARTIKEL BERKAITAN: “Niat kau bagus... Nobody is perfect!” - Faizal Tahir pesan agar Black merendah diri, puji berani minta maaf secara terbuka

"PKPB bermula 4 April (Isnin) tapi 3 April saya tengok dekat restoran berpusu-pusu orang pergi beli makanan... Allahuakbar takkan tak boleh tunggu sikit.

"Kamu ambil risiko hidup orang lain, kalau awak buat macam itu kalau kena diri sendiri (moga dijauhkan) awak tanggung seorang tak apa... kita kena fikir secara rasional!

"Kalau bawa virus, nak buat apa? Sebab kita tak nampak virus sebab tu pemikiran kita begitu, cuba kalau nampak. Ini baru longgarkan sikit saja, sabarlah!," katanya menerusi siaran langsung di Instagram.



Faizal muat naik rakaman video dan kongsi pandangannya secara langsung di Instagram.

Sebelum itu, Faizal berkongsi foto dan video memperlihatkan pelanggan di sebuah restoran dan kawasan medan selera berpusu-pusu membeli makanan tanpa mempedulikan mengenai penjarakkan sosial.

Video tersebut menjadi tular di laman sosial dan meengundang pelbagai reaksi daripada netizen.

Rata-ratanya meluahkan rasa kurang senang dengan sikap segelintir masyarakat yang tidak ambil peduli mengenai bahaya virus Covid-19 ini.

Bersyukur ada ramai lagi orang yang lebih teruk... Syria, Gaza lockdown bertahun-tahun. Tuhan baru tarik sikit nikmat, bukan kena serang dengan bom, sabar!

FAIZAL TAHIR

PENYANYI

Sementara itu, Faizal berkata PKP yang dilaksanakan kerajaan hanyalah ujian kecil berbanding rakyat di negara lain yang berdepan peperangan sehinggakan terpaksa berkurung di rumah masing-masing dalam tempoh masa yang lama.

"Kalau kita boleh tahan sikit lagi, silap-silap kita boleh raya seperti biasa, saya faham duduk rumah lama stres, tapi bukan tak boleh keluar langsung, saya pasti dalam tempoh itu ada yang keluar beli barang dapur dan makanan.



Faizal minta semua pihak main peranan dalam membendung wabak bahaya ini.

"Bersyukur ada ramai lagi orang yang lebih teruk... Syria, Gaza lockdown bertahun-tahun. Tuhan baru tarik sikit nikmat, bukan kena serang dengan bom, sabar!

"Saya harap yang keluar berpusu-pusu tu balik mandi jangan sentuh sesiapa, ia boleh jadi gelombang kedua atau silap-silap lockdown bertahun... betul-betul lockdown masuk kubur selamanya. Kalau sanggup, baiklah!," ujarnya.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Ragaman ini meminta masyarakat menghargai penat lelah petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus membendung penularan wabak ini.

"Guys fikirlah fronliners, letih tau... yang mana tak tahu sabar ni patut jadi frontliner. Setiap hari orang kongsi dekat media sosial hargai frontliner tapi hakikatnya.

"Ini tanggungjawab kita bersama, saya tak mahu salahkan sesiapa 100 peratus, sebagai masyarakat semua kena ambil bahagian dan peranan, saya pun ambil kesalahan ini... mungkin saya tak cukup beri maklumat sebagai public figure tapi dalam masa sama anda kena bawa peranan ini juga!," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Faizal Tahir

Artikel Lain