suria

Uji bakat dalam talian, tiada babak sentuhan dan tidak lebih 20 orang antara syarat penggambaran dalam tempoh PKPB

Penggambaran perlu dijalankan mengikut SOP yang ditetapkan.

AKTIVITI penggambaran dibenarkan bermula Jun ini iaitu selepas Hari Raya Aidilfitri dengan beberapa syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi di setiap peringkat.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran menjalankan penggambaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Berkawal (PKPB) telah mendapat persetujuan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri.

ARTIKEL BERKAITAN: Penerbit janji tak ada adegan bersentuhan, guna kaedah ‘cheat shot’ - “Kami rayu PM beri kebenaran jalankan penggambaran”

"Mesyuarat Khas Menteri-Menteri bersetuju untuk membenarkan aktiviti penggambaran sepanjang tempoh PKPB.

Sidang Media Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Ismail Sabri Yaakob.

"Saya difahamkan oleh Menteri Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) semalam, walaupun kita benarkan selepas raya tapi persediaan yang banyak yang diperlukan oleh syarikat penggambaran, kemungkinan besar hujung Jun baru boleh mulakan penggambaran," katanya pada sidang media, Rabu.

Ismail Sabri turut menjelaskan prosedur yang perlu dipatuhi pihak produksi semasa menjalani penggambaran termasuk melakukan mesyuarat dan uji bakat secara atas talian, mengemukakan rekod perjalanan untuk semua kru dan artis sebelum penggambaran.

Selain itu, produksi perlu melantik seorang penyelia keselamatan semasa penggambaran.

"Antara SOP yang perlu dipatuhi adalah melakukan mesyuarat dan uji bakat secara dalam talian. Mengemukakan rekod perjalanan semua tenaga produksi dan artis sebelum penggambaran dan memastikan tidak lebih daripada 20 orang terlibat dalam setiap sesi penggambaran.

"Mereka perlu melihat daripada jumlah kru yang terlibat. Jadi mereka bersetuju jumlah kru dan pelakon tidak boleh melebihi 20 orang di set penggambaran yang akan mereka laksanakan nanti.

"Syarikat produksi juga perlu melantik seorang penyelia keselamatan bagi memastikan pematuhan SOP di semua peringkat produksi," jelasnya.

Tambahnya, perkhidmatan bufet untuk artis dan kru tidak dibenarkan selain jurusolek dan penata rias perlu mengikut prosedur yang betul dengan memakai face shield dan mencuci tangan sebelum dan selepas menyolek atau menata rias artis.

"Perkhidmatan bufet bagi petugas dan artis adalah tidak dibenarkan dan makanan perlu dihidangkan secara pek individu.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut menegaskan pihak produksi harus menjaga jarak sosial dan menggunakan teknik yang betul dalam penggambaran untuk mengelakkan sentuhan fizikal antara pelakon.

"Penjarakkan sosial seperti biasa mesti dilakukan. Babak yang memerlukan jarak yang rapat juga tidak dibenarkan kecuali menggunakan teknik yang betul. Terserah kepada pihak produksi untuk langkah tersebut walaubagaimanapun tidak boleh ada sentuhan fizikal atau jarak yang kurang dari satu meter.

Namun begitu, program rakaman atau penggambaran secara langsung yang melibatkan penonton yang ramai masih tidak dibenarkan.

"Walaubagaimanapun, rakaman atau penggambaran center-stage atau secara langsung yang melibatkan tontonan ramai masih tidak boleh dibenarkan. Teater dan sebagainya juga masih tidak boleh dibenarkan," ulasnya.

Sebelum ini, beberapa persatuan penerbit Malaysia telah mengemukan surat terbuka kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan membuat permohonan membenarkan pihak produksi menjalani penggambaran demi membela nasib anak seni yang rata-rata telah pun atau hampir kehilangan pekerjaan.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Penggambaran, Pihak produksi

Artikel Lain