suria

Tiada jaminan selamat, Nabila Huda kurang setuju penggambaran dibenarkan - “Produksi boleh cover kos perubatan 100 peratus?”

Nabila memohon maaf jika ada pihak terasa hati dengan pandangannya itu.

MESKIPUN rindu ingin kembali berlakon namun pelakon Nabila Huda tidak bersetuju dengan keputusan membenarkan penggambaran dijalankan dalam situasi krisis wabak Covid-19 yang sedang melanda.

Nabila, 36, berkata banyak persoalan yang bermain di fikirannya dan antaranya berhubung dengan tindakan yang akan diambil pihak produksi jika kru atau pelakon dijangkiti Covid-19 ketika penggambaran.

ARTIKEL BERKAITAN: Uji bakat dalam talian, tiada babak sentuhan dan tidak lebih 20 orang antara syarat penggambaran dalam tempoh PKPB

"Macam mana kalau kita shoot, tapi kita terkena jangkitan didapati positif, produksi boleh tak cover kos perubatan 100 peratus? Boleh tak, produksi jamin 100 peratus kita tak akan dijangkiti ketika bekerja?

"Macam mana kalau kita dijangkiti ketika penggambaran dan kemudian kita tak tahu, sekali terkena pada seluruh keluarga di rumah, produksi boleh tanggung kos perubatan untuk seluruh keluarga?



Antara status yang dimuat naik Nabila di Twitter.

"Persoalannya, macam mana kalau kita dijangkiti ketika penggambaran? Adakah pasti anda akan ambil risiko? Soal nyawa, semua ada keluarga. Kalau keluarga dijangkiti itu adalah perkara paling menakutkan.

"Bayangkan ibu bapa kita atau anak dijangkiti disebabkan kita, adakah anda rasa menyesal? Terlalu banyak persoalan bermain dalam fikiran bila saya terbaca fasal kenyataan nak mula penggambaran," katanya di Twitter.

Menerusi laporan mStar pada Rabu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah memaklumkan kebenaran meneruskan aktiviti seni telah diluluskan semasa mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Bagaimanapun, penggiat seni haruslah mematuhi prosedur operasi standard (SOP)yang digariskan dan tidak akan mengabaikan saranan kerajaan itu.

Dalam pada itu, Nabila tetap berasa bimbang dengan penjarakkan sosial jika ada babak yang melibatkan orang ramai walaupun penggambaran boleh dilakukan mengikut SOP.



Penerbit dan pengarah Shuhaimi Lua (tengah) gembira dengan keputusan kerajaan membenarkan aktiviti seni diteruskan selepas Aidilfitri.

"Kalau la kita dibenarkan untuk kembali penggambaran kena mengikut SOP, macam mana nak berlakon dengan cara new normal? Tak logik. Bukan tak setuju, faham semua dah kalut tak bekerja.

"Saya pun dalam keadaan yang sama. Saya rindu nak masuk set. Sebagai contoh, penggambaran di lokasi luar untuk babak melibatkan orang ramai, babak gaduh, macam mana nak buat tapi penjarakkan sosial?

"Semua kru pakai mask ketika penggambaran, macam mana dengan kami pelakon? Masa tengah berlakon, kena buka mask lepas itu pakai balik bila pengarah cakap cut?" ujarnya.

Sementara itu, Nabila meluahkan rasa gembira melihat rakan-rakan di belakang tabir yang berniaga secara talian demi menampung kehidupan harian mereka tanpa meminta simpati daripada mana-mana pihak.

Semua orang tengah susah, semua tengah zaman kejatuhan tetapi tak boleh la nak mengeluh saja.

NABILA HUDA

PELAKON

"Saya gembira tengok rakan-rakan belakang tabir saya, penolong pengarah, jurusolek artis, wardrobe, beberapa pengarah yang dah moving on dengan isu tak bekerja ini dengan berniaga online untuk survive.

"Saya rasa terharu sekurang-kurangnya mereka berusaha nak cari duit untuk hidup dan mereka berjaya. Mereka tak meraih simpati asyik mengeluh tak ada duit, tak ada kerja, tak masak sebab tak ada barang dapur.

"Mereka usaha dan kawan-kawan belakang tabir tak perlu risau nak menjual kuih ke kek sebab mereka ada ramai rakan-rakan artis yang baik dengan mereka boleh tolong promosikan apa saja dan ia berjaya.

"Kita tolong satu sama lain. Cukup la keperluan harian. Kalau betul susah, tak pakai kereta, tak ada Iphone, tak duduk kondominium atau rumah teras, itu baru susah. Ujian sikit saja ini, bersabarlah sikit saja lagi, Insya-Allah kena kuat," katanya.



Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Ismail Sabri Yaakob, memaklumkan beberapa syarat dan SOP yang perlu dipatuhi di setiap peringkat.

Nabila turut memberitahu dia tidak mempunyai niat untuk mencetuskan kontroversi atau nak membantah mana-mana pihak namun ingin meluahkan pandangan secara jujur dari hatinya.

"Semua orang tengah susah, semua tengah zaman kejatuhan tetapi tak boleh la nak mengeluh saja. Semua benda tak puas hati. Berhenti pentingkan diri, semua orang tengah sesak tapi kita masih hidup.

"Saya bukan nak cari fasal atau cari kontroversi, tak ada masa. Cuma nak luahkan pandangan apa saya rasa jujur dari hati. Bukan nak melawan sesiapa.

"Saya tak suka bila kita asyik mengeluh susah dalam keadaan memang kita tak boleh buat apa-apa seolah-olah kita tak reda dengan ujian ini," kata Nabila.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Nabila Huda, Covid-19, penggambaran,

Artikel Lain