suria

Tiada kampung! Siti Elizad seronok tahun ini ramai kawan beraya di KL - “Dulu sedih sebab kawan-kawan tinggalkan kita balik kampung”

Elizad tidak terkesan dengan larangan merentas negeri semasa Aidilfitri kerana dia memang merupakan anak jadi Kuala Lumpur.

JIKA ada insan bersedih kerana tidak dapat balik kampung menyambut hari raya Aidilfitri bersama keluarga, pelakon Siti Elizad pula berdepan situasi berbeza.

Menurut Elizad, 36, sejak kecil lagi dia dan keluarga meraikan lebaran di Kuala Lumpur berikutan mereka tidak mempunyai kampung halaman.

"Kalau nak tahu saya memang dah biasa beraya di Kuala Lumpur jadi tahun ini sama sahaja, tak ada perasaan sedih tak dapat balik kampung.

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Elizad kongsi tip khatam Al-Quran di bulan Ramadan - “Letak telefon dekat luar semasa mengaji dan selesai solat”

"Iyalah sejak dari kecil beraya di KL... kalau dulu kita yang sedih sebab kawan-kawan tinggalkan kita balik kampung dan saya terpaksa beraya seorang diri di KL, rasa macam tak best pula.

"Tapi kali ini memang berbeza, saya pula rasa bersemangat apabila ramai jadi 'Team Raya KL', walaupun tak dapat nak menziarahi setiap rumah tapi sekurang-kurangnya kita bersama-sama dapat rasa beraya dekat KL," katanya kepada mStar.



Setiap tahun Elizad sambut raya di Ampang.

Dalam pada itu, pengacara dan penyampai radio ini juga mendedahkan dia pernah memasang impian untuk mencari bakal suami yang mempunyai kampung bagi merasai pengalaman beraya di desa.

Bagaimanapun, hasratnya itu tidak tercapai kerana suaminya juga merupakan orang bandar yang menetap di Subang Jaya, Selangor.

InsyaAllah semua ini akan berakhir tidak lama lagi... kita tahu ramai yang rindu keluarga tapi sekarang zaman dah moden, boleh buat panggilan video!

SITI ELIZAD

PELAKON

"Nak kongsi kisah lawak sikit, harap-harap suami tak dengarlah ya! Dahulu niatnya nak cari suami yang ada kampung, sekali rupa-rupanya dapat orang sini juga!

"Masa zaman bujang dahulu, ada la kawan-kawan ajak balik kampung beraya bersama tapi perasaan teruja tu mungkin tak sama sebab kita tak boleh nak duduk lama.

"Sebenarnya, tak kisahlah di mana pun kita beraya, yang penting adalah ikatan hubungan kekeluargaan dan persaudaraan itu tak putus," ujarnya.



Elizad bersama suami tersayang, Shamsul Baharin Rahman.

Sementara itu, pelakon drama Syurga Yang Kedua ini berharap mereka yang terpaksa beraya berjauhan dengan keluarga bersabar ketika berdepan ujian ini.

Ujarnya, ini merupakan satu pengorbanan besar demi membendung penularan wabak Covid-19 dalam negara kita.

"Kepada mereka yang tak balik kampung tu, anda sebenarnya membantu bersama-sama memutuskan rantaian Covid-19.

"InsyaAllah semua ini akan berakhir tidak lama lagi... kita tahu ramai yang rindu keluarga tapi sekarang zaman dah moden, boleh buat panggilan video kalau rindu.

"Raya tetap raya cuma mungkin kali ini lebih berbeza dan disambut penuh kesederhanaan," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Siti Elizad

Artikel Lain