suria

Buka tudung selepas Ramadan, Zizi Kirana minta doakan bertemu jodoh yang dapat membimbing - “Sejujurnya kalau dengan ustaz pun okay!”

Zizi hanya mengenakan tudung bagi menghormati bulan Ramadan.

TIDAK lagi mengenakan tudung selepas berakhir bulan Ramadan, penyanyi Zizi Kirana berkata laman sosialnya dihujani pelbagai komen daripada netizen yang mahu dia terus kekal berhijab.

Zizi atau nama sebenar Nur Fazelah Mad Tahil mengakui agak tertekan apabila ada netizen meninggalkan komen berbentuk kecaman dengan menggunakan bahasa kasar.

"Saya terima semua teguran dan nasihat itu dengan hati terbuka tetapi dalam masa sama saya akui rasa stres baca komen mereka yang marah-marah hanya kerana saya dah tak bertudung macam dulu.

ARTIKEL BERKAITAN: Zizi Kirana teruskan imej bertudung bulan Ramadan biarpun dikritik - “Ada hikmah... tahun ini saya solat tarawih dan mengaji Al-Quran sendirian”

"Saya rasa lebih baik kalau kita doakan yang baik-baik sesama kita daripada menyakitkan hati sendiri dengan mengecam orang lain," katanya kepada mStar.



Ini tahun kedua Zizi mengenakan hijab sepanjang bulan Ramadan.

Penyanyi lagu Eh ini tampil dengan imej berhijab bagi menghormati bulan Ramadan.

Ini merupakan tahun kedua Zizi mengenakan tudung dan mengakui melakukan perubahan sementara itu atas kerelaaan diri sendiri.

Sementara itu, Zizi berkata meskipun belum bersedia untuk bertudung, dia sentiasa berusaha mengubah dirinya menjadi insan yang lebih baik.



Zizi minta netizen doakan yang terbaik.

"Saya sama seperti orang lain sentiasa berusaha untuk mengubah diri ke arah yang lebih baik.

"Terima kasih kepada netizen yang menegur, saya tetap menyayangi mereka kerana sentiasa mengingatkan kita hal-hal yang baik walaupun ada kalanya komen itu agak menyakitkan hati.

"Dalam masa sama, doakan juga saya cepat-cepat bertemu lelaki yang dapat membimbing... sejujurnya kalau tertulis jodoh dengan ustaz pun okay! Tak salahkan kita berdoa benda baik?," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Zizi Kirana

Artikel Lain