suria

Fasha Sandha terharu Sugu Pavithra sangat meminatinya - “Jarang ada penonton berbangsa India ikuti semua drama saya”

Fasha tidak menyangka Pavithra meminatinya.

PERKONGSIAN YouTuber sensasi S. Pavithra di sebuah portal lifestyle Pepatung yang meluahkan rasa teruja dapat berborak menerusi panggilan video dengan selebriti kegemarannya iaitu pelakon Fasha Sandha menarik perhatian umum.

Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 36, berkata dia berasa terkejut apabila penulis portal tersebut menghubungi dan memberitahu Pavithra sangat meminati serta sering mengikuti drama lakonannya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Struktur wajahnya sangat cantik, cukup solekan polos” - Jurusolek selebriti Razzi Musa dedah pengalaman solek Pavithra

Malah apa yang membuatkan Fasha lebih terkejut apabila melihat wajah Pavithra yang cukup berbeza selepas mendapat sentuhan magis oleh jurusolek selebriti iaitu Razzi Musa.

Foto Pavithra yang mendapat solekan Razzi Musa menjadi tular.

"Sejujurnya saya terkejut apabila penulis menghubungi dan beritahu bahawa Sugu Pavithra yang terkenal di YouTube amat meminati saya serta mengikuti drama lakonan saya. Malah dia turut menangis apabila menonton babak saya menangis.

"Saya amat terkejut kerana jarang ada penonton berbangsa India yang mengikuti semua drama saya. Masa mula-mula Pavithra hubungi saya agak terkejut sebab muka dia tak sama macam saya tengok dalam berita, rupa-rupanya dah disolek dengan begitu cantik sekali.

"Pavithra ada beritahu bahawa dia dan keluarga meminati saya dan saya berterima kasih serta turut memberitahu bahawa saya sentiasa doakan dia terus berjaya di saluran YouTube," kata Fasha kepada mStar.

Menerusi artikel di portal tersebut, Pavithra mendedahkan dia meminati subjek bahasa Melayu di sekolah dan banyak mengasah kemahiran bahasa kebangsaan itu dengan menonton drama-drama Melayu.

Saya amat terkejut kerana jarang ada penonton berbangsa India yang mengikuti semua drama saya.

FASHA SANDHA

PELAKON

Ketika ditanya selebriti berbangsa Melayu yang paling diminati, Pavithra terus menyebut nama pelakon Fasha Sandha dan mereka dapat bersua menerusi panggilan video.

Pavithra dan suaminya mula menambat hati rakyat Malaysia di saluran YouTube mereka, Sugu Pavithra menerusi video memasak menggunakan bahasa Melayu.

Sehingga kini, saluran YouTube pasangan itu sudah mencecah 716,000 pengikut.

Dalam pada itu, Fasha turut berkongsi perkembangan terkini yang sedang menanti hari untuk melahirkan cahaya mata pertamanya dengan pelakon Aidil Aziz.

Fasha bersama suami dan anak-anaknya.

"Alhamdulillah saya dalam keadaan sihat... InsyaAllah akan bersalin hujung bulan depan. Saya masih fobia memandangkan dua kali keguguran sebelum ini.

"Tapi Alhamdulillah kandungan dah lebih lapan bulan. Sekarang ini, hari-hari saya luangkan masa bersama Aidil dan dua orang anak saya. Selain itu, saya fokus masa dengan komitmen saya sebagai duta produk," ujarnya.

Fasha berkahwin dengan Aidil pada 30 Mac tahun lalu dan sebelum ini dia pernah mengalami keguguran sebanyak dua kali.

Dia mempunyai dua orang anak iaitu Putra Rayfal, 7, dan Putri Raysha Jemyma, 6 hasil perkahwinan terdahulu dengan ahli perniagaan, Rizal Ashram Ramli.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Fasha Sandha, Sugu Pavithra,

Artikel Lain