suria

Mira Filzah, Ayda Jebat, Ernie Zakri antara enam selebriti yang dah 'off market' tahun 2020!

Ramai selebriti terkenal menamatkan zaman bujang pada tahun 2020.

LUMRAH manusia untuk mempunyai keinginan mencari jodoh yang baik dan hidup bahagia bersama pilihan hati masing-masing.

Tahun 2020 memperlihatkan ramai artis yang sedang berada di puncak kerjaya mengikat tali pertunangan dan bersedia untuk berkeluarga.

ARTIKEL BERKAITAN: Fazura, Fasha Sandha dan Bella Astillah antara 12 selebriti bakal timang cahaya mata tahun ini!

ARTIKEL BERKAITAN: Kacak, berduit dan jadi idaman wanita... ini senarai 5 selebriti 'hot' bergelar suami setia pada isteri

Perkara ini sedikit sebanyak menepis persepsi segelintir masyarakat bahawa populariti merudum selepas berumah tangga, malah hubungan yang dibina juga mendapat sokongan daripada peminat-peminat mereka sendiri.

Kali ini, mStar senaraikan lima selebriti terkenal yang sudah mengikat tali pertunangan dan bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi.



Tunang kepada Mira iaitu Wan Emir Astar bersama ibunya, Datin Mastura Mohd Yazid.

1. Mira Filzah dan Wan Emir Astar

Selepas beberapa lama berteka-teki mengenai statusnya, pelakon Mira Filzah akhirnya mengesahkan dia sudah bertunang dengan seorang jejaka pada Julai lalu.

Mira mengesahkan kedua-dua pihak keluarga sudah bertemu bagi membincangkan mengenai hubungan mereka.

"Status sekarang saya tunangan orang... InsyaAllah apa sahaja nanti media akan dijemput.

"Saya dah bersedia... kalau dah ada semuanya kita akan beritahu dan pasti akan mengundang media," katanya kepada mStar.

Sebelum itu, beberapa blog hiburan melaporkan mengenai gosip kononnya dia sudah bertunang dan bakal berkahwin pada Oktober ini.

Lebih menguatkan spekulasi apabila tersebar foto Mira bersama seorang lelaki iaitu Wan Emir Astar iaitu anak kepada Ahli Parlimen Kuala Kangsar yang juga merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas Tugas Khas), Datin Mastura Mohd Yazid.



Ernie dan Syamel mengikat tali pertunangan pada 16 Ogos lalu.

2. Ernie Zakri dan Syamel

Pasangan penyanyi Ernie Zakri dan Syamel akhirnya mengumumkan sudah mengikat tali pertunangan pada 16 Ogos lalu selepas empat tahun menjalinkan hubungan cinta.

Ernie atau nama sebenar Nur Ernie Shahirah Zakri, 28, berkata dia dan Syamel terpaksa merahsiakan status hubungan mereka setiap kali ditanya media berikutan belum ada tarikh sesuai untuk dikongsikan.

Penyanyi lagu Boneka ini turut memberitahu sudah mempunyai single duet yang dicipta berdasarkan kisah cinta mereka dan bakal dilancarkan pada hari perkahwinan mereka.

"Keluarga belah Syamel juga ada bercadang untuk lancarkan single duet kami pada hari perkahwinan. Kalau sempat InsyaAllah kami akan lancarkan pada tarikh itu. Lagunya dah ada tapi masih belum ada kata putus lagi.

"Lagu itu saya tulis bersama Syamel, boleh dikatakan ditulis berdasarkan kisah cinta kami. Tapi kami mahu melodi itu lebih sweet sebab sebelum ini kami banyak lagu sedih saja," jelasnya.

Pasangan ini merancang untuk mendirikan rumah tangga pada tahun hadapan namun masih belum ada tarikh yang tetap.



Pasangan ini bertunang secara online dalam tenpoh PKP.

3. Ayda Jebat dan Nabil Mahir

Pasangan romantis ini tidak pernah berahsia tentang hubungan percintaan sejak mula mengenali satu sama lain sejak Oktober 2019.

Kedua-dua mereka sering berbalas komen 'sweet' dan memuat naik gambar mesra di Instagram sehingga Nabil membuka mulut mengenai hubungan itu pada November tahun lalu.

Bekas pengacara Hlive! itu memberitahu sikap Ayda yang gila-gila membuatkan hubungan mereka saling melengkapi antara satu sama lain.

Nabil kemudiannya meneruskan langkah seterusnya apabila melamar Ayda pada ulang tahun ke-28 penyanyi lagu Temberang itu pada 18 Mac lalu.

Tidak menunggu lama, pasangan ini akhirnya mengikat tali pertunangan dan majlis tersebut diadakan secara 'online' berikutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 28 April lalu.



Dayana bertunang dengan ahli perniagaan A'dale Adham

4. Dayana Roza dan A'dale Adham

Sekian lama mencari teman hidup, pelakon Dayana Roza akhirnya memilih ahli pernigaan A'dale Adham Ayahudin, 33, sebagai bakal pasangan hidupnya.

Pasangan ini mengikat tali pertunangan pada 5 Ogos lalu dalam sebuah majlis sederhana yang dihadiri keluarga dan rakan baik.

Menurut Dayana atau nama sebenar Nur Dayana Kamsun Bahari, 29, tunangnya itu pernah cuba melamarnya untuk mendirikan rumah tangga kira-kira empat tahun lalu.

Dayana bagaimanapun menolak permintaan itu kerana tidak menyenangi sikap A'dale yang gemar mengusiknya.

“Kami dah berkawan enam tahun. Dia ini memang kawan gaduh saya. Sebenarnya, dia pernah ajak kahwin empat tahun lepas.

“Tapi saya tolak sebab dia jenis suka menyakat sehinggalah dia mendekati saya penghujung tahun lepas semula selepas tahu saya sudah kembali solo, ” katanya

Pasangan itu bakal mengikat tali pertunangan selama empat bulan sebelum merancang untuk bernikah pada pertengahan Disember depan.



Soffwany dan Raja Afis bertunang secara senyap pada Mac lalu.

4. Raja Afiq dan Soffwany Yusoff

Selepas tiga bulan berkenalan, dalam diam-diam pelakon Raja Afiq mengikat tali pertunangan dengan anggota polis Soffwany Yusoff pada awal Mac lalu di kediaman wanita itu di Johor.

Pasangan ini pada awalnya bercadang untuk melangsungkan pernikahan pada Ogos atau September tahun ini namun terpaksa menangguhkan majlis berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Soffwany atau nama sebenar Fairuzziha Hazwany Mohamad Yusoff, 31, majlis pertunangan mereka berlangsung secara tertutup kerana belum bersedia untuk berkongsi status hubungan mereka kepada umum.

"Saya sudah mengenali Raja Afiq sejak awal tahun ini, tapi tak pernah dedahkan status hubungan kami berdua.

"Kami pun sudah melangsungkan pertunangan beberapa bulan lepas tapi memilih untuk tidak menghebahkan berita ini kerana masing-masing belum bersedia untuk berkongsi. Hanya ahli keluarga yang tahu mengenai status kami," katanya kepada mStar.



Risteena dan Isa mengadakan majlis pertunangan di Bali Indonesia.

6. Nur Risteena dan Isa Khan

Walau sering dikecam netizen kerana terlalu kerap berkongsi kebahagiaan, pasangan pelakon Nur Risteena Munim dan Isa Khan tidak pernah terkesan.

Perkenalan lima bulan menyatukan pasangan pelakon Risteena, 27, dan Isa, 27, dengan ikatan pertunangan pada 23 November 2019 di Bali, Indonesia.

Namun Risteena berkata, dia dan Isa memilih untuk merahsiakan hubungan cinta yang terjalin kerana bimbang dengan tanggapan orang luar yang tidak tahu apa yang mereka lalui.

"Ada beberapa sebab yang membuatkan kami ketika itu tidak mahu terlalu heboh mengenai hubungan ini. Antaranya kerana perlu jaga hati beberapa pihak juga.

"Selain tu, orang tak akan faham dengan keadaan kami. Mungkin orang akan cakap saya ni cepat sangat ceri pengganti dan curang ke apa, tapi yang sebenarnya mereka tak tahu apa yang kami lalui.

"Saya pun tak nak cerita apa yang saya alami dalam hidup saya, biarlah saya seorang sahaja yang tahu dan simpan benda ini," katanya kepada mStar.

Isa dan Risteena merancang melangsungkan perkahwinan pada penghujung tahun ini namun ia bergantung pada situasi negara yang masih belum bebas Covid-19.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain