suria

Nabil Mahir pelik netizen sanggup buat 'fake account' semata-mata nak kecam - “Suka caci orang fasal agama tapi diri sendiri tak terjaga”

Nabil tampil memohon maaf atas kekurangan dirinya.

PENGACARA Nabil Mahir kesal dengan komen-komen negatif netizen terhadap dia dan tunangnya penyanyi Ayda Jebat, lebih-lebih lagi apabila mengaitkan agama Islam.

Nabil atau nama sebenarnya Ahmad Nabil Ahmad Mahir, 32, berkata netizen yang melemparkan kata-kata cacian itu sebaik-baiknya menjaga hal diri sendiri dan ahli keluarga terdekat mereka terlebih dahulu sebelum menegur orang lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Ayda Jebat, Nabil kongsi foto sempena Hari Merdeka, netizen pula yang 'panas hati' - “Jangan peluk-peluk gitu... belum halal lagi”

Kata Nabil, segelintir netizen sanggup mewujudkan akaun palsu semata-mata untuk meninggalkan kata-kata kejian dan hinaan di laman sosial orang lain.



Nabil kesal dengan sikap segelintir netizen yang gemar mencaci orang lain.

"Ramai kat Instagram ni suka caci orang fasal agama tapi diri sendiri dan orang terdekat tak terjaga. Kelakar ramai yang sampai sanggup buat fake account sekadar nak kutuk maki. Best ke?" katanya.

Nabil berkongsi perkara itu menerusi laman Instagram dan dipercayai mempunyai kaitan dengan tindakannya memuat naik sekeping foto berpelukan bersama Ayda sempena Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-63 pada Ahad lalu.

Rata-rata netizen menegur dan berpendapat aksi mesra berpelukan di hadapan hiasan tanaman berbentuk bendera Malaysia tidak sesuai berikutan pasangan tersebut belum mempunyai ikatan yang sah.

Malah, ada yang membandingkan mereka dengan pasangan penyanyi Syamel dan Ernie Zakri yang masih menjaga batas antara satu sama lain walaupun baharu mengikat tali pertunangan.



Pasangan ini bertunang pada April lalu secara online.

Dalam pada itu, Nabil memohon maaf atas kekurangan dirinya dan mendoakan orang ramai yang sedang berdepan masalah dipermudahkan urusan.

"Maafkan saya terlebih terkurang, kita manusia sama, harap diampunkan. Saya doakan kepada semua moga apa-apa masalah yang anda lalui, moga dipermudahkan dan diberi kebahagiaan. Amiin," ujarnya.

Nabil dan penyanyi lagu Temberang itu mengikat tali pertunangan secara talian (online) pada 28 April lalu.

Kisah hubungan cinta mereka mula menjadi perbualan hangat netizen selepas Ayda berkongsi foto cincin lamaran yang diterimanya semasa ulang tahun kelahiran ke-28 pada 18 Mac lalu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain