suria

Ulang tahun Ashraf Sinclair, BCL titip ucapan menyentuh hati - “Terima kasih buat saya percaya bahawa saya layak untuk dicintai”

BCL dan arwah Ashraf mempunyai seorang anak lelaki bernama Noah Aidan Sinclair.

MESKIPUN suaminya iaitu Ashraf Sinclair sudah tiada, penyanyi Bunga Citra Lestari tetap menitipkan ucapan istimewa sempena ulang tahun kelahiran Allahyaram yang ke-41 pada Jumaat.

Bunga atau lebih dikenali sebagai BCL, 37, mengucapkan terima kasih kepada arwah suaminya yang membuatkan dia percaya dirinya layak untuk dicintai.

ARTIKEL BERKAITAN: Jakarta 'lockdown' semula mulai Isnin, BCL ambil kesempatan ziarahi pusara Ashraf Sinclair

Menurut penyanyi lagu Cinta Sejati ini, dia masih memegang kata-kata Ashraf dan akan mencintai dirinya seperti mana suaminya menyayanginya sepenuh hati.



BCL muat naik foto suaminya dengan ucapan kelahiran arwah.

"Terima kasih kerana membuatkan saya percaya bahawa saya layak untuk dicintai. Sejak awak tiada, saya perlu menjadi awak... seseorang yang mencintai saya dan seseorang yang mempercayai saya.

"Kata-kata awak sangat hebat, dan akhirnya saya dapat melihatnya. Saya akan mencintai diri saya, seperti mana awak mencintai saya. Selamat ulang tahun kelahiran sayang," kata BCL.

BCL berkongsi ucapan romantis tersebut dengan memuat naik foto Allahyarham menerusi laman Instagram miliknya pada Jumaat.

Saya akan mencintai diri saya, seperti mana awak mencintai saya.

BUNGA CITRA LESTARI

PENYANYI

Ruang komen di perkongsian tersebut dipenuhi dengan kata-kata semangat untuk BCL dan tidak lupa juga, doa untuk arwah Ashraf.

Allahyarham Ashraf Sinclair meninggal dunia akibat serangan jantung pada 18 Februari lalu di Jakarta, Indonesia.

BCL mendirikan rumah tangga dengan Ashraf pada 2008 dan pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Noah Aidan Sinclair yang kini berusia 10 tahun.



Foto kenangan Adam, Yuna, BCL dengan arwah abangnya, Ashraf

Dalam pada itu, suami kepada penyanyi Yuna iaitu Adam Sinclair memberitahu biarpun arwah Ashraf sudah pergi buat selama-lamanya namun dia sentiasa menghargai kehadiran lelaki itu dalam hidupnya.

"Selamat hari lahir abang. Hari ini kenangan tentang awak sangat kuat. Dan sebanyak mana saya rindukan awak, saya juga menghargai perasaan yang terlalu dekat dengan awak.

"Kehidupan saya lebih baik dengan adanya awak. Pagi yang gelap, kini sudah terang. Aku adikmu, dan engkau Abang. Ku amat merinduikan mu," tulis Adam.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain