suria

Noryn Aziz sempat kahwin sebelum PKPB, buat persiapan kurang 24 jam - “Keperibadiannya memikat saya”

Noryn dan suami membuat persiapan perkahwinan dalam tempoh kurang 24 jam.

PENYANYI Noryn Aziz berkongsi berita gembira bahawa dia selamat diijabkabulkan dengan ahli perniagaan Shaik Rizal Shaik Sulaiman pada Selasa malam di kediaman pasangannya di Damansara, Petaling Jaya.

Menurut Noryn, majlis pernikahan mereka terpaksa diawalkan daripada tarikh yang dirancang berikutan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Noryn Aziz kuatkan diri, takkan 24 jam nak termenung!

Noryn meluahkan rasa syukur biarpun dia dan suaminya melakukan persiapan untuk hari bahagia mereka dalam tempoh kurang 24 jam namun majlis berjalan dengan lancar.

Noryn memakai persalinan yang direka oleh Rizman Ruzaini.

"Sebetulnya, saya dan suami pada awalnya ingin melangsungkan majlis akad nikah pada 25 Oktober tapi disebabkan PKPB, majlis tersebut terpaksa diadakan lebih awal.

"Kami berhasrat agar hari bahagia dihadiri keluarga terdekat serta rakan-rakan rapat. Alhamdulillah, hajat dan keinginan itu tercapai dan dipermudahkan Allah SWT.

"Kurang 24 jam saya dan Rizal buat keputusan untuk bernikah. Segala persiapan dilakukan sepantas yang mungkin.

"Kami bersyukur kerana semuanya diatur dengan mudah. Saya percaya semua ini kerana kebesaran Allah," kata Noryn menerusi kenyataan pada Rabu.

Dia seorang yang sangat positif dan banyak memberi sokongan moral kepada saya dalam urusan bisnes.

NORYN AZIZ

PENYANYI

Pada malam akad nikah yang hanya dihadiri 30 tetamu termasuk keluarga dan rakan rapat, Shaik Rizal, 48, menghadiahkan sebentuk cincin emas sebagai mas kahwin kepada Noryn.

Majlis akad nikah itu juga diadakan dalam suasana norma baharu dan mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Dalam pada itu, juara program Gegar Vaganza musim kelima ini berkongsi detik pertemuan pertama mereka yang merupakan rakan perniagaannya pada awal tahun ini.

"Kami mula berkenalan pada awal 2020 sebagai rakan perniagaan yang akhirnya membawa kami ke alam rumah tangga. Semuanya berlaku sekelip mata.



Noryn mengenali suaminya pada awal tahun ini.

"Baik saya dan Rizal... pada awalnya tak terfikir untuk menjadi kekasih. Hubungan kami benar-benar profesional sehinggalah lama-kelamaan saya dapat rasakan kehadiran Rizal menyenangkan.

"Keperibadiannya memikat saya. Dia seorang yang sangat positif dan banyak memberi sokongan moral dalam urusan bisnes.

"Selepas beberapa bulan kami menjadi lebih akrab, banyak bercerita soal masa depan yang akhirnya kami sepakat untuk mengakhiri hubungan persahabatan kepada ikatan yang lebih suci," ujarnya.

Sebelum ini, Noryn pernah mendirikan rumah tangga dengan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad dan berpisah pada tahun 2018.

Hasil pernikahan mereka, pasangan itu dikurniakan seorang anak lelaki, Raja Bariq Umar Shah.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain