suria

Video Fizi Ali dikacau anak ketika bersiaran dari rumah tarik perhatian netizen - “Kalau dengar bunyi pelik korang diam-diam je la”

Fizi akui menjaga anak ketika bekerja memberi cabaran kepadanya.

MENJAGA anak yang masih kecil sambil bekerja dari rumah bukanlah sesuatu tugas yang mudah buat penyampai radio Suria FM iaitu Fizi Ali.

Pemilik nama Hafizudin Alimudin, 31, ini berkata, dia perlu menggalas tanggungjawab menjaga anaknya, Ameena Sofia yang kini berusia setahun berikutan isteri iaitu pelakon Shakilla Khoriri sedang menjalani penggambaran.

ARTIKEL BERKAITAN: Fizi Ali masuk hospital, Shakilla Khoriri pula di Melaka - “Kesian Ameena... ibu jauh, bapa dia pula kena tahan wad”



Video Fizi diganggu Ameena ketika sedang bekerja menarik perhatian netizen.

"Buat masa sekarang, kadang-kadang saya bekerja dari rumah dan ada masa di perlu masuk pejabat. Kalau bekerja dari rumah saya bertanggungjawab sepenuhnya untuk menjaga anak.

"Sebabkan isteri saya ada shooting di luar dan lagi pun waktu saya bertugas hanya pukul 6 hingga 10 pagi saja. Bila kerja di rumah memang akan dengar suara anak gelak, terjerit dan kadang itu menangis.

"Nampak mudah bekerja dari rumah walaupun hanya sebagai penyampai radio tetapi sebenarnya mencabar juga," katanya kepada mStar.

Terdahulu, perkongsian video pendek Fizi bersama dua rakan penyampai iaitu Ajak dan Issey sedang bekerja diganggu Ameena menarik perhatian netizen di laman sosial.

Menerusi kapsyen video berkenaan, Fizi meminta pendengar radio Suria FM mengabaikan jika mendengar suara anaknya ke udara dalam segmen yang dikendalikan iaitu Team Pagi Suria.

"Ameena taknak kawtim (kerjasama) betul, macam nilah kerja dari rumah... kalau dengar bunyi pelik korang diam-diam jelah" ujarnya.

Saya berharap kita dapat sama-sama melawan Covid-19 ini untuk hidup lebih mudah dan teratur.

FIZI ALI

PENYAMPAI RADIO SURIA FM

Rata-ratanya memuji Fizi mampu menjaga anak perempuannya itu ketika sedang bersiaran di radio.

Dalam pada itu, Fizi mengakui kehidupan dan aktiviiti hariannya terkesan akibat perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Meskipun beberapa acara terpaksa ditunda namun Fizi mengambil apa yang terjadi secara positif dan menganggap perlaksanaan itu sesuatu yang baik demi keselamatan semua.



Fizi bersama isteri dan anak sulungnya.

"Saya boleh dikatakan antara yang sangat terkesan dengan PKPB ini kerana banyak aktiviti luar dan beberapa perancangan yang diatur perlu diitangguhkan.

"Buat masa sekarang ada la juga dalam lima atau enam acara telah ditunda. Tapi saya ambil secara positif dan mungkin ada baiknya juga PKPB ini.

"Saya berharap kita dapat sama-sama melawan Covid-19 ini untuk hidup lebih mudah dan teratur," ujarnya.

Fizi Ali mendirikan rumah tangga bersama Shakilla Khoriri pada 18 Februari 2018 dan dikurniakan seorang cahaya mata bernama Ameena Sofia yang kini berusia setahun.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain