suria

Anak semakin aktif cipta lagu, Hattan mengaku tak suka puji hasil kerja Adam Eiman - “Biar dia rasa ada kekurangan...”

Hattan mahu anaknya fokus pembelajaran biarpun kini sudah bergelar penyanyi dan komposer.

PENYANYI Datuk Hattan memberitahu dia tidak pernah melarang anaknya yang juga penyanyi dan komposer baharu Adam Eiman untuk keluar bersama rakan-rakan.

Hattan atau nama sebenarnya Mohd Shukri Shahabudin, 56, berkata, biarpun tiada larangan namun Adam lebih gemar menghabiskan masa di studio dalam rumah mereka untuk berkarya.

ARTIKEL BERKAITAN: Adam Eiman tak pernah dapat pujian Hattan - “Susah bekerjasama dengan ayah, kami ada pendapat berbeza”

Malah, Hattan mengakui Adam seorang anak yang baik yang pandai mencari duit sendiri dan mempunyai impian untuk menjadi kaya dengan usahanya sendiri.



Hattan akui Adam seorang anak yang baik.

"Saya tak kisah dia nak keluar sekali sekala pergi bersuka-ria dengan kawan-kawan tapi tidak boleh pergi tempat yang bukan-bukan seperti kelab malam.

"Tapi Adam ini hanya dengan dunia dia dalam bilik studio buat lagu. Dia tak suka keluar lepak... sampaikan kadang-kadang saya yang suruh dia keluar berjumpa kawan.

"Boleh katakan dia seorang anak yang tidak pernah menyusahkan ibu bapa. Pandai cari duit sendiri dengan menjual pakaian lamanya secara online.

"Dia ada menyimpan impian nak buka syarikat sendiri dan mahu menjadi kaya dengan usahanya sendiri, tak mahu tumpang kesenangan keluarga," kata Hattan kepada mStar.

Dia memang seorang anak yang pandai sebab itu saya tak kisah apa yang dia nak buat.

HATTAN

PENYANYI

Adam atau nama sebenarnya Adam Eiman Mohd Shukri, 22, merupakan satu-satunya anak tunggal Hattan dengan isterinya iaitu Datin Arianie Mohd Abidin.

Menerusi laporan mStar pada 16 Oktober lalu, Adam mengakui menjadi anak kepada penyanyi terkenal itu tidak memberi kelebihan kepadanya untuk berada dalam industri seni tanah air.

Jelas Adam, dia menceburi bidang muzik tanpa pengetahuan bapanya berikutan enggan dikatakan menumpang populariti penyanyi lagu Biso Bonar.



Hattan sentiasa mahukan yang terbaik untuk anaknya.

Dalam pada itu, Hattan memberitahu dia tetap mahu anaknya menumpukan perhatian kepada pembelajaran meskipun aktif dalam dunia muzik.

"Walaupun dia sudah menceburi dunia muzik tapi saya nak dia beri tumpuan kepada pembelajarannya. Dia belajar sangat bagus dan sentiasa dapat keputusan yang cemerlang.

"Dia memang seorang anak yang pandai sebab itu saya tak kisah apa yang dia nak buat. Dalam soal muzik ini, saya memang tak boleh nak puji lebih... biar dia rasa kekurangan itu ada untuk diperbaiki.

"Sebenarnya saya buat begitu seperti nak provoke dia lakukan yang lebih baik," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain