suria

Penyanyi baharu Ezra Kairo pernah trauma jadi mangsa buli ketika di bangku sekolah

Ezra akui trauma menjadi mangsa buli ketika di bangku sekolah.

PENYANYI baharu Ezra Kairo berkongsi pengalamannya pernah menjadi mangsa buli ketika di sekolah menengah disebabkan dirinya lahir dalam keluarga India Muslim.

Ezra atau nama sebenarnya Daniel Ezra Mohd Shafiq Nickleson, 19, berkata warna kulitnya juga dijadikan bahan ejekan dan usikan sehingga menyebabkan dia melalui pengalaman trauma yang teruk.

Penyanyi lagu Wait For Me ini bagaimanapun tidak mahu terus hanyut dengan kesedihan dan trauma, dia menjadikan muzik sebagai ruang berkongsi curahan isi hati.

"Fasa genting dalam hidup saya ketika di sekolah menengah. Dilahirkan dalam keluarga India Muslim, saya tak lepas diejek dan dibuli. Malah pelbagai gelaran yang diberikan kepada saya cukup menyeksakan hati.



Ezra gunakan saluran muzik sebagai luahan isi hatinya.

"Warna kulit saya juga jadi modal usikan dan ejekan. Saya berdepan trauma yang memeritkan. Umpama diri ini tiada hati dan perasan.

"Muzik umpama escapisme atau cara saya bangkit melupakan apa saja yang melemahkan. Saya alihkan apa saja rasa yang tidak enak dengan muzik dan menulis lirik khususnya.

"Saya juga mula menyertai pertandingan nyanyian di sekolah. Secara rasmi saya berjinak jinak secara serius dalam nyanyian tahun lalu," kata Ezra kepada mStar.

Nama Ezra Kairo mungkin masih terlalu asing di arena seni namun penyanyi baharu ini mahu mencuba nasib dalam dalam industri muzik sebagai anak seni.

Saya sendiri kehilangan bapa tersayang di usia tiga tahun.

EZRA KAIRO

PENYANYI

Penuntut diploma tahun akhir jurusan perniagaan di sebuah kolej tempatan ini mula aktif memuat naik lagu nukilan liriknya di platform digital termasuk di YouTube sejak tahun lalu.

Lagu berjudul Come Thru antara penyebab namanya pernah menjadi sebutan pada Mac lalu ketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam pada itu, selepas muncul dengan beberapa buah single dan EP berbahasa Inggeris, Ezra kini optimis untuk tampil dengan single bahasa Melayu yang berjudul Kau Tiada.

Kata Ezra, pada mulanya dia menulis lirik lagu tersebut dalam bahasa Inggeris dan diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dengan bantuan rakannya yang juga bekas peserta Big Stage 2020 iaitu Amir Hassan.



Ezra tampil dengan single bahasa Melayu berjudul Kau Tiada.

"Lirik lagu Kau Tiada saya tulis dalam bahasa Inggeris. Ia diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dengan bantuan Amir Hassan.

"Lagu ini mengenai rasa kehilangan apabila orang yang kita sayangi sudah tiada. Ia tidak hanya tertakluk kepada kekasih semata mata. Tapi dengan sesiapa saja yang kita rapat.

"Saya sendiri kehilangan bapa tersayang di usia tiga tahun. Saya yakin ramai yang sudah terbiasa melalui fasa kehilangan. Bukan sesuatu yang mudah melawan fasa sebegitu, namun hidup harus diteruskan." ujarnya.

Ezra memilih untuk melancarkan teaser Kau Tiada bermula pada Jumaat di platform YouTube, Tiktok dan media sosial lain.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain