suria

Tiada penyingkiran! 7 peserta Gegar Vaganza 7 layak ke pentas akhir

Cliff terselamat dari penyingkiran, Linda dijangka beri saingan sengit kepada Noraniza Idris.

TUJUH peserta yang bersaing di peringkat separuh akhir Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) layak meneruskan perjuangan di pentas akhir minggu depan.

Keputusan tiada penyingkiran itu diumumkan selepas konsert separuh akhir GV7 yang bersiaran secara langsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada malam Ahad.

Minggu ini menyaksikan penyanyi Cliff Umar menerima markah terendah iaitu sebanyak 55 peratus.

ARTIKEL BERKAITAN: GV7 tetap bersiaran secara langsung di Putrajaya tanpa kehadiran penonton

Bagaimanapun, nasib menyebelahinya apabila dia terselamat serta layak meneruskan perjuangan minggu depan.

Sementara itu, penyanyi Oja menerima markah tertinggi iaitu 69.90 peratus diikuti Muss (68.50) dan Linda Nanuwil (68.30).



Oja terima markah tertinggi pada saingan separuh akhir GV7.

Peserta lain yang layak meneruskan saingan di peringkat akhir minggu depan ialah Ashira, Ayu Damit dan Noraniza Idris.

Bertemakan Outstation, peserta diuji menyanyikan lagu bukan berbahasa Melayu atau dalam dialek negeri lain serta medley bersama lagu kejutan yang diberikan.

Kesemua peserta diadili oleh tiga juri tetap iaitu Datuk Ramli MS, Datuk Khadijah Ibrahim dan Datuk Syafinaz Selamat serta juri jemputan minggu ini ialah Jay Jay.

GV7 dikendalikan oleh pengacara Nabil Ahmad dan Jihan Muse.

Juara Gegar Vaganza musim ketujuh bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi manakala RM50,000 untuk naib juara dan RM30,000 tempat ketiga.

Tempat keempat, kelima dan keenam pula masing-masing bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM20,000, RM15,000 dan RM10,000 beserta trofi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain