suria

Ai Wahida terima DM gadis minta bantuan mahu peluk Islam - “Dia tak tahu nak mula, takut tak dapat sokongan”

Ai Wahida terima mesej daripada seorang gadis yang mahu memeluk Islam.

PENYANYI Ai Wahida mendedahkan dia menerima mesej peribadi (DM) daripada seorang pengikut di laman Instagram yang menyatakan hasrat mahu berhijab dan memeluk agama Islam.

Menurut Ai Wahida atau nama sebenar Wahida Amalin Atan, 22, tujuan gadis itu menghubunginya adalah untuk mendapatkan bimbingan dan panduan sebelum mengambil keputusan memeluk Islam.

"Beberapa hari lepas, saya tersentuh dengan satu DM ni... selalunya saya memang akan baca semua DM, tetapi saya jarang balas sebab banyak sangat. Kali ini saya terpanggil untuk balas dan bantu seorang gadis ini sebaik mungkin.

ARTIKEL BERKAITAN: Ai Wahida muat naik foto tayang cincin, tak sangka ramai yang tanya - “Bukan hari bahagia saya... doakan jodoh cepat sampai”

"Gadis itu meminta saya membantunya memeluk Islam! Sejujurnya, saya tak sangka dia memilih saya untuk bercerita mengenai niatnya untuk berhijrah itu.

"Dalam perbualannya itu, dia beritahu nak peluk Islam dan berhijab, tetapi dia tak tahu macam mana nak mula dan takut tak dapat sokongan serta dikeji oleh orang sekeliling," katanya kepada mStar.



Mesej perbualan Ai Wahida bersama gadis berkenaan.

Sebelum itu, penyanyi lagu Kembalilah Bersamanya ini berkongsi paparan skrin mesej perbualannya bersama gadis berusia 20 tahun itu di Instagram.

Mengakui sebak membaca mesej yang dihantar itu, Ai Wahida berkata dia tidak keberatan untuk membantu gadis itu mendalami Islam.

Saya minta dia untuk belajar lebih lagi mengenai agama Islam dan saya sendiri tak kisah untuk terus membantunya.

AI WAHIDA

PENYANYI

"Dia berasal dari Sabah dan bekerja di Selangor. Sebelum ini dia selalu mesej saya dan puji saya comel dan cantik berhijab sehinggalah suatu hari dia mesej saya menyatakan niatnya itu.

"Memang sebak baca mesej yang dihantar... katanya sejak 2017 lagi dia dia berhasrat untuk memeluk Islam tetapi masih tidak berkesempatan, lebih-lebih lagi dia menerima tentangan hebat untuk menukar agama.



Ai Wahida tak lokek kongsi ilmu agama dengan gadis tersebut.

"Saya minta dia untuk belajar lebih lagi mengenai agama Islam dan saya sendiri sedia untuk terus membantunya," ujarnya.

Sementara itu, Ai Wahida berkata dia masih lagi berhubung dengan gadis berkenaan dan sering berkongsi ilmu agama termasuklah hal berkaitan solat dan Al-Quran.

"Selepas mendengar perkongsiannya itu, kami bertukar nombor telefon dan saya banyak mengajar mengenai ilmu agama di aplikasi Whatsapp.

"Sejujurnya, saya pun bukan pandai sangat tapi apa saya sedar bila saya ajar dia secara tak langsung saya juga berusaha untuk belajar dengan lebih mendalam mengenai ilmu agama.

"Dia rajin nak belajar dan buat masa sekarang saya baru ajar benda asas contohnya macam mana nak berwuduk, nak baca doa tidur dan sebagainya," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain