suria

“Bait-bait lagu Hutang bawa maksud mendalam” - Layak ke AJL35, Floor88 janji tutup mulut netizen dengan persembahan terbaik!

Floor 88 mempertaruhkan lagu Hutang ke pentas AJL 35.

VOKALIS kumpulan Floor 88, Ayie berazam untuk memberikan persembahan terbaik bagi menutup mulut netizen yang mempertikaikan keputusan juri melayakkan lagu Hutang sebagai finalis Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL 35).

Menurut Ayie atau nama sebenarnya, Nik Fadlee Elhamshah, 23, setiap pihak perlu menghormati keputusan yang telah dibuat oleh juri yang mempunyai pengalaman dalam mengadili pertandingan berprestij itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Peluang Kedua, Hati dan Belenggu Rindu ciptaan Hael Husaini antara 12 lagu layak ke AJL35

"Kami sebenarnya langsung tidak menyangka lagu Hutang akan berjaya mara ke pentas AJL. Bagi kami sendiri, ini semua rezeki yang diberikan Allah SWT dan Floor 88 sangat bersyukur apabila diumumkan sebagai finalis AJL ke-35.

"Secara peribadi, saya dan ahli kumpulan yang lain pun target lagu Naim Daniel akan masuk AJL 35, tapi mungkin juri ada penilaian dan pendapat mereka masing-masing.



Dua lagu Naim Daniel tidak berjaya ke pentas AJL 35.

"Bagi membuktikan kepada pihak di luar sana yang mempertikaikan kemaraan lagu Hutang ke pentas akhir, Floor 88 akan memberikan persembahan terbaik bagi menutup mulut mereka," katanya kepada mStar.

Selain itu, Ayie menambah, jika diamati lagu Hutang turut mempunyai nilai seni tersendiri yang tidak boleh dipandang ringan, sama seperti lagu-lagu lain yang bertanding.

"Kalau kaji bait-bait lirik Hutang, ia sebenarnya membawa maksud yang cukup mendalam berlandaskan metafora dan gaya bahasa sarkastik yang kami tonjolkan.

"Cumanya, kami sampaikan dalam nada bersahaja sambil bertujuan untuk memberikan hiburan agar ia seimbang dan mesra telinga," katanya.

Kalau kaji bait-bait lirik Hutang, ia sebenarnya membawa maksud yang cukup mendalam.

AYIE

VOKALIS FLOOR 88

Selain Hutang, 11 lagu yang turut berjaya melangkah ke pentas AJL 35 ialah Aku Bidadari Syurgamu nyanyian Aishah, Semalam (Aina Abdul), Kau Sakiti (Amir Masdi), 7 Nasihat (Shiha Zikir, Kmy Kmo, Luca Sickta), Eh (Zizi Kirana) dan Gundah (Ernie Zakri).



Floor 88 dianggotai oleh Ayie, Achoi, Eric, Akram, Amir dan Falique.

Turut layak, Gila (Kaka Azraff, Loca B, Noki), Jangan Khianati Aku (Azlan & The Typewriter), Belenggu Rindu (Datuk Jamal Abdillah dan Wany Hasrita), Hati (Hael Husaini) dan Peluang Kedua (Hael Husaini).

Pengumuman itu dilakukan pada episod ketiga Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-35 (SFMM35) yang bersiaran langsung dari Sri Pentas 2, Shah Alam, malam Selasa.

Juri profesional yang mengadili separuh akhir kali ini ialah Fauzi Marzuki, Edrie Hashim, AG Coco, Ajai, Helen Yap, Datuk Mokhzani Ismail dan Azmeer selaku ketua juri.

AJL 35 bakal berlangsung pada 7 Februari depan di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain