suria

Buat kerja haram guna logo Suria FM tanpa kebenaran, Beto Kusyairy kecewa filem 'KL Gangters Underworld 2' tersebar di Telegram

Beto berang individu kongsi filem cetak rompak, Suria FM nafi terlibat dalam kumpulan itu.

STESEN radio Suria FM menafikan penglibatan mereka dalam satu kumpulan di aplikasi Telegram yang berkongsi filem tempatan secara haram.

Pengurus Kanan Suria FM, Roslinda Abdul Majid atau lebih dikenali DJ Lin berkata, individu berkenaan menggunakan logo stesen radio itu tanpa kebenaran sehingga menimbulkan kekeliruan ramai.

Lebih-lebih lagi, selepas pelakon Beto Kusyairy memuat naik paparan skrin menunjukkan filem lakonannya KL Gangters Underworld 2 (KLGU2) disebarkan secara haram menerusi kumpulan Telegram itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas pekerja menyamar Setiausaha Politik KKR... Suria FM minta orang ramai hati-hati, tidak kaitkan dengan stesen itu

"Stesen radio Suria Malaysia ingin memaklumkan bahawa group Telegram bernama Suria Group yang mempunyai senarai filem cetak rompak seperti yang dikongsi di Instastory Beto hari ini (Rabu) bukanlah group telegram rasmi Suria Malaysia.



Beto tegur individu kongsi filem secara haram.

"Suria Malaysia tidak mempunyai atau menyertai mana-mana group di Telegram. Logo yang dipaparkan adalah logo lama Suria FM dan ianya digunakan tanpa kebenaran Suria Malaysia.

"Tujuan makluman ini adalah untuk mengelakkan sebarang salah faham orang ramai terhadap Suria Malaysia," katanya.

Sebelum itu, menerusi Instastory, Beto meluahkan rasa kesal dengan tindakan individu tidak bertanggungjawab berkongsi filem lakonannya secara haram di aplikasi Telegram.



Beto mahu orang ramai laporkan kepada pihak berkuasa jika masih ada yang berkongsi filem secara haram.

Dia turut memuat naik paparan skrin seorang pengguna berkongsi filem KLGU2 lakonannya itu di aplikasi tersebut.

"Payah sangat nak educate terutamanya tukang sokong perompak-perompak ni.

"Menonton KLGU2 di Telegram, Facebook, YouTube adalah cetak rompak dan segala link selain dari WeTV dan iFlix adalah cetak rompak.

"Jika sabit kesalahan memuat naik atau menyebarkan denda RM20,000 dan lima tahun penjara," tulis Beto.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain