suria

“Cliff layak menang... nasib baik saya dapat tempat kedua GV7, kalau tak tentu frust teruk!” - Mus May

Muss berpuas hati menang naib juara GV7.

PENYANYI Mus May mahu peminatnya berlapang dada dan menerima kemenangan Cliff Umar sebagai juara Gegar Vaganza 7 (GV7) yang berlangsung pada Ahad lalu.

Menurut Mus atau nama sebenarnya, Mustaffa Din, 52, vokalis Projek Pistol itu semenangnya layak memenangi pertandingan program realiti tersebut berdasarkan kepada persembahannya pada malam final itu.

Secara berjenaka, Mus berkata dia tetap berpuas hati menduduki tempat kedua asalkan bukan berada di tangga tiga terbawah.

ARTIKEL BERKAITAN: Cliff Umar juara Gegar Vaganza 7, bawa pulang RM100,000

"Saya akui Cliff memang layak menang berdasarkan persembahan cemerlang dia pada malam final. Ia satu kelebihan buatnya apabila lagu-lagu yang dinyanyikan semuanya sesuai dengan suara dia.

Tiga pemenang utama GV7, Cliff Umar selaku juara, Mus sebagai naib juara dan Ayu di tempat ketiga.

"Saya minta maaf kepada peminat kerana tidak dapat memenuhi harapan mereka untuk melihat saya bergelar juara. Saya dah cuba sehabis baik pada malam itu.

"Tipulah kata kalau saya tidak simpan impian nak menang nombor satu, tapi bila dah tinggal saya berdua di atas pentas bersama Cliff, saya dah berkata dalam hati, kalau kalah pada Cliff pun tak mengapa, sebab dia memang layak menang.

"Nasib baik saya tak dapat nombor belakang sangat, kalau tidak mungkin saya frust teruk," katanya kepada mStar.

Kemenangan itu melayakkan Mus membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM50,000 beserta trofi sumbangan Astro.

Berkongsi lanjut mengenai tahap kesihatannya sepanjang menyertai pertandingan itu, Mus berkata ada kalanya dia tertekan untuk menyanyikan lagu berlainan genre, namun menganggap perkara itu sebagai cabaran yang perlu ditempuh.

Nasib baik saya tak dapat nombor belakang sangat, kalau tidak mungkin saya frust teruk

MUSS

PENYANYI

"Sepanjang dua bulan GV7 berlangsung, kesihatan saya baik-baik sahaja. Letih fizikal itu tak sangat tapi lebih kepada letih mental bila kita perlu memikirkan konsep persembahan yang perlu ditampilkan setiap minggu.

"Tapi saya anggap perkara itu sebagai satu cabaran untuk anak seni dalam membawakan lagu pelbagai genre," katanya.

Dalam pada itu, ditanya tentang duit kemenangan, Mus berkata, dia akan menyimpan wang itu memandangkan situasi ekonomi negara akibat pandemik Covid-19.

"Dalam keadaan negara dilanda wabak, tidaklah saya nak berbelanja sesuka hati wang kemenangan. Sebaliknya, saya akan menyimpan sebab kita tak pasti apa akan jadi di masa akan datang," katanya.

Mus akan simpan wang kemenangan.

Pada malam final GV7, penyanyi Ayu Damit berjaya meraih tempat ketiga manakala Ratu Etnik Kreatif, Noraniza Idris di kedudukan keempat.

Linda Nanuwil, Oja dan Ashira masing-masing berpuas hati di tempat kelima, keenam dan ketujuh.

Persembahan kesemua finalis itu dinilai dua juri tetap, Datuk Ramli MS dan Datuk Khatijah Ibrahim serta dua juri jemputan, Datuk Syafinaz Selamat dan rapper, Joe Flizzow.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain