suria

Da’i Syed terpalit tuduhan jenayah seksual... Aliff Syukri didakwa aniaya Wani Comel antara 10 terpanas 2020

10 kontroversi dan isu sensasi selebriti tanah air yang mendapat perhatian masyarakat tahun ini.

TAHUN 2020 menyaksikan pelbagai pahit manis serta kontroversi yang dilalui anak seni, lebih-lebih lagi ketika dunia berperang dengan virus Covid-19 hingga melumpuhkan sektor ekonomi termasuk industri hiburan.

Perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula Mac lalu menjadi titik hitam kepada segelintir selebriti dan kru produksi apabila hilang mata pencarian sehingga terpaksa meminta bantuan daripada pihak tertentu.

Selain itu, dunia seni juga kehilangan bintang berharga antaranya Allahyarham Abam Bocey dan Ashraf Sinclair yang meninggal dunia secara mengejut akibat demam panas dan serangan jantung.

Bukan itu sahaja, kontroversi melibatkan nama pendakwah juga menjadi isu yang paling mendapat perhatian sepanjang tahun ini.

Abam meninggalkan seorang balu dan anak lelaki.

Berikutan rangkuman 10 berita hiburan yang menjadi perbualan hangat sepanjang tahun 2020:

1. Dunia hiburan dikejutkan dengan pemergian pelawak Abam Bocey

Berita mengenai anggota kumpulan lawak terkenal, Bocey iaitu Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan meninggal dunia pada 10 Februari lalu benar-benar memberi impak yang sangat besar kepada dunia hiburan.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Alhamdulillah... tuntutan faraid selesai, ibu mentua Nor Hidayah tetap dapat bahagian ikut hukum Islam

Allahyarham yang berusia 32 tahun itu meninggal dunia akibat demam panas ketika berada di kediamannya yang terletak di Gombak.

Konflik antara Nor Hidayah dan Ali Puteh timbul selepas beberapa hari pemergian arwah Abam.

Biarpun dianggap sebagai pemergian yang dicemburui, namun timbul pula konflik antara isteri Abam iaitu Nor Hidayah Mohd Ali dengan pelawak Ali Puteh melibatkan tuntutan harta pusaka peninggalan arwah.

Konflik antara Nor Hidayah dan keluarga arwah suaminya itu berpanjangan sehingga berbulan-bulan dan terpaksa dibawa ke mahkamah bagi menyelesaikan isu harta pusaka tersebut.

Arwah Abam mendirikan rumah tangga dengan Nor Hidayah pada 2017 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang kini berusia setahun.

2. Suami Bunga Citra Lestari, Ashraf Sinclair meninggal dunia

Foto kenangan arwah Ashraf bersama isteri, BCL dan anak mereka, Noah.

Hanya selang lapan hari pemergian Abam, dunia hiburan sekali lagi berduka cita apabila kehilangan seorang bintang terkenal iaitu pelakon Ashraf Sinclair yang juga suami kepada penyanyi Indonesia Bunga Citra Lestari pada 18 Februari lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: 10 bulan pemergian Ashraf Sinclair, Bunga Citra Lestari ditanya adakah bakal kahwin lagi? - “Setiap hari menangis dan sekarang masih menangis lagi...”

Allahyarham Ashraf yang berusia 41 tahun menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Jakarta, Indonesia akibat serangan jantung.

Sehari selepas pemergian Ashraf, kediamannya yang terletak di Jakarta Selatan, Indonesia masih lagi menjadi tumpuan media tempatan namun suasana sekitar banglo itu tetap kelihatan tenang.

Pemergian arwah Ashraf memberi impak yang besar kepada ahli keluarga terutama isteri dan ibunya.

Kesedihan Bunga Citra Lestari atau BCL yang kehilangan suaminya secara mengejut turut mendapat perhatian media Malaysia dan Indonesia malah boleh dikatakan setiap hari ada sahaja berita perkembangan keadaan penyanyi lagu Cinta Sejati itu.

Biarpun sudah 10 bulan pemergian suaminya, Bunga Citra Lestari mengakui perasaan rindu terhadap arwah suami masih belum hilang dan memerlukan waktu untuk mengubat kerinduan serta mencari semangat baharu.

Ashraf dan BCL mempunyai seorang cahaya mata lelaki bernama Noah Aidan Sinclair yang kini berusia 10 tahun.

3. Emma Maembong kahwin mengejut, Hubungan Neelofa dan PU Riz dikatakan berakhir selepas hampir dua bulan bertunang

Emma membuat kejutan berkahwin sehinggalah dapat bayi lelaki.

Keputusan pelakon Emma Maembong melangsungkan pernikahan dengan pasangan pilihannya yang bertugas sebagai juruterbang iaitu Muhammad Shazli Azhar, 32, pada 20 Februari lalu mengejutkan ramai pihak.

ARTIKEL BERKAITAN: Seminggu kunci mulut akhirnya suami Emma Maembong umum kelahiran anak lelaki

Malah kehamilan dan kelahiran cahaya mata pertama Emma yang diberikan nama Shariq Gabriel turut dikongsikan secara mengejut.

Mungkin peminat tak dapat jangka pernikahan Emma memandangkan aktres itu menyimpan rahsia tersebut dengan baik namun berbeza pula dengan selebriti terkenal Neelofa yang bertunang dengan Pencetus Ummah (PU) Riz.

Foto PU Riz dan Neelofa bersama ibu masing-masing ketika di majlis merisik pasangan itu.

Bagaimanapun, penghujung tahun 2020 dikejutkan dengan dakwaan yang mengatakan ikatan pertunangan pasangan itu telah berakhir selepas adik-beradik usahawan itu asyik berkongsi status berbaur sindiran yang dipercayai ditujukan kepada PU Riz.

ARTIKEL BERKAITAN: Neelofa, Pu Riz muat naik nota luahan hati, beri gambaran seolah-olah sukar fahami apa berlaku - “Saya tahu Allah akan beri yang terbaik”

Neelofa menerusi sebuah video menolak dakwaan terkena buatan minyak pengasih, sudah berkahwin di Kelantan dan 'transfer' duit kepada PU Riz dan menganggap tuduhan tersebut telah menjejaskan nama baik dan maruah keluarganya.

Namun sehingga berita ini ditulis, kedua-dua selebriti itu masih dalam perbincangan dan mencari keputusan terbaik untuk hubungan tersebut.

4. Fazura bersalin, Siti Nurhaliza hamil anak kedua

Fazura dan Fattah dikurniakan seorang anak perempuan yang diberi nama Nur Fatima Aisya.

Setelah hampir tiga tahun mendirikan rumah tangga, perkahwinan pasangan sama cantik, sama padan Nur Fazura dan Fattah Amin diserikan dengan kehadiran puteri sulung mereka, Nur Fatima Aisya.

Fazura, 37, selamat melahirkan Fatima pada tanggal 2 Oktober lalu.

Khabar gembira itu dikongsikan Fazura dan Fattah, 30, menerusi Instagram masing-masing dengan memuat naik gambar jari anak mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Fattah, Fazura timang anak perempuan, kongsi wajah dan nama selepas 7 hari - “Kelahiran ini sangat membahagiakan kami”

Selepas dua bulan dilahirkan, pasangan yang digelar Fattzura ini masih belum menunjukkan wajah penuh anak mereka kepada umum.

Fazura dan Fattah melangsungkan pernikahan dalam sebuah majlis tertutup di sebuah hotel pada 27 November 2017.

Selain berita kelahiran anak Fazura, turut mendapat perhatian peminat hiburan tempatan ialah kisah mengenai kehamilan kedua penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.

Siti, 41, membuat pengumuman sedang hamil empat bulan menerusi sesi sidang media majlis pelancaran produk keluarannya, awal bulan ini.

Penyanyi Aku Bidadari Syurgamu ini juga mendedahkan dia bakal menimang anak lelaki dan impiannya untuk memiliki sepasang cahaya mata akhirnya dimakbul Allah SWT.

ARTIKEL BERKAITAN: Empat bulan simpan rahsia, Siti Nurhaliza akhirnya umum hamil anak kedua - “Seronok kalau dapat sepasang”

Pada 25 September lalu, aksi anak pertama Siti, Siti Aafiyah mencium perut ibunya ketika sedang bersiaran langsung di Instagram mencetuskan spekulasi penyanyi itu sedang hamil anak kedua.

Siti Nurhaliza teruja menantikan kelahiran cahaya mata kedua.

Menerusi video berkenaan juga menunjukkan Aafiyah beberapa kali mencium perut ibunya dalam keadaan gembira dan teruja.

Siti berkahwin dengan ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa pada 2006 dan setelah 12 tahun menanti akhirnya Siti dikurniakan cahaya mata pertama, Aafiyah yang kini sudah mencecah usia dua tahun.

5. Artis positif Covid-19

Pandemik Covid-19 yang menyerang satu dunia pada awal tahun ini turut melibatkan beberapa artis tempatan yang didapati positif virus itu.

Antara bekas pesakit Covid-19 dalam kalangan selebriti ialah Pencetus Ummah (PU) Riz, pelakon Ashraff Muslim, Puteri Aishah dan terbaharu Alif Satar.

ARTIKEL BERKAITAN: Alif Satar positif Covid-19 - “Saya mohon maaf... keputusan ini mendukacitakan”

Sebaik positif, selebriti berkenaan terpaksa dikuarantin selama dua minggu sebelum kesemuanya disahkan telah bebas Covid-19.

PU Riz disahkan menghidap Covid-19 selepas dia mengunjungi Masjid Jamek, Sri Petaling, Kuala Lumpur yang turut menjadi antara kluster terbesar di Malaysia.

Sementara itu, Puteri Aishah pula mendapat khabar tidak baik itu selepas dia selesai menjalani penggambaran di Scotland yang diadakan pada bulan Mac lalu.

Seminggu selepas itu, rakan gandingannya, Ashraf Muslim pula dijangkiti wabak tersebut malah video rakamannya ketika diambil menaiki ambulans menuju ke Hospital Sungai Buloh turut meraih simpati netizen.

Puteri Aishah dan Ashraf Muslim dijangkiti Covid-19 selepas menjalani penggambaran di Scotland, Mac lalu.

Terbaharu, penyanyi Alif Satar pula disahkan positif Covid-19 dua hari selepas dia selesai melakukan persembahan pada episod pertama Separuh Akhir Muzik Muzik ke-35 (SFMM35) yang berlangsung pada 20 November lalu.

Menerusi muat naik di laman Instagramnya pada 22 November, Alif menyatakan dia positif wabak itu selepas kali kedua melakukan ujian saringan.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu menjalani kuarantin dari 22 November hingga 4 Disember lalu di Hospital Melaka.

Susulan itu, pihak produksi (SFMM35) terpaksa menangguhkan episod ketiga program tersebut ke 15 Disember atas faktor keselamatan.

Alif Satar dikuarantin selama 12 hari di Hospital Melaka.

Bimbang akan menjangkiti rakan-rakan artis lain, Alif menyarankan kontrak rapat dengannya untuk membuat ujian saringan.

6. Da'i Syed ditahan atas dakwaan kes rogol dan cabul

Hujung November lalu, dunia hiburan dikejutkan dengan dakwaan pendakwah muda Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaifu Jamalullail atau lebih dikenali dengan gelaran Da'i Syed merogol seorang gadis.

Pendedahan itu dibuat oleh seorang pemilik akaun Twitter yang mendakwa rakannya telah dirogol penceramah berkenaan tahun lalu.

Susulan itu, Da'i Syed kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Mutiara Damansara, Petaling Jaya pada 24 November lalu menafikan dakwaan tersebut.

Namun, tiga hari selepas itu, Da'i Syed telah direman lima hari bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan atas dakwaan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Da’i Syed tak sabar jumpa ibu, akhirnya dilepaskan dengan ikat jamin - “Saya perlu sedikit ruang untuk pulihkan jiwa dan mental”

Menerusi laporan yang dibuat mangsa berusia 23 tahun itu, dia telah keluar dengan suspek yang baru dikenali di Instagram dengan menaiki kereta milik suspek jenis BMW untuk membuat perbincangan berkenaan masalah kemurungan yang dihadapi selain mendapatkan rawatan perubatan Islam.

Mangsa kemudian mendakwa dirogol dan suspek memberikan amaran supaya merahsiakan kejadian tersebut sebelum pulang keesokan harinya menggunakan perkhidmatan e-hailing ke rumahnya di Subang Jaya.

Disebabkan insiden itu, mangsa dikatakan mengalami tekanan perasaan yang teruk sehingga mendapat rawatan psikiatri di Hospital Kajang pada 23 September tahun lalu.

Tidak terhenti di situ, beberapa lagi wanita tampil membuat laporan polis mendakwa mereka juga pernah menjadi mangsa jenayah seksual Da'i Syed.

Tahanan reman Da'i Syed kemudian dilanjutkan apabila polis daerah Petaling Jaya menahannya susulan dua lagi laporan yang dibuat mangsa berlainan.

Dua lagi laporan itu melibatkan dakwaan merogol dan satu lagi atas dakwaan cabul dan seks luar tabii.

Da'i Syed berdepan tiga pertuduhan jenayah seksual.

Kes rogol dilaporkan seorang wanita berusia 22 tahun yang juga seorang guru sebuah sekolah di Lembah Klang manakala kes kedua berkaitan cabul dan seks luar tabii pula dilaporkan seorang penuntut kolej swasta berusia 22 tahun.

Kes melibatkan bekas peserta program dakwah itu mendapat liputan meluas media sehingga dia akhirnya berhadapan tuduhan pada 10 September lalu di dua mahkamah berasingan iaitu Kompleks Mahkamah Petaling Jaya dan Shah Alam.

Dalam pertuduhan ke atas pemuda berusia 25 tahun itu, Da'i Syed dibebaskan dengan ikat jamin bagi tiga tuduhan jenayah seksual tersebut.

Bagi pertuduhan di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan berhubung dakwaan melakukan seks luar aturan tabii mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan perbuatan cabul mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Dia dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM25,000 bagi kedua-dua dakwaan itu.

Sementara di Shah Alam, tertuduh mengaku tidak bersalah atas dakwaan merogol seorang penganggur wanita berusia 23 tahun dalam kejadian pada 11 September tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Di Shah Alam, Da'i Syed dibenarkan diikat jamin sebanyak RM10,000 beserta seorang penjamin.

Da'i Syed akhirnya dibebaskan selepas pengurusnya, Mohd Aizat selesai membayar wang ikat jamin keseluruhan, RM35,000 pada 15 Disember lalu.

Mahkamah menetapkan 19 Februari 2021 untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya manakala 25 Januari ditetapkan untuk pihak pendakwaan menyerahkan semua dokumen berkaitan kes kepada Mahkamah Sesyen Shah Alam.

7. Kes Wani Comel vs Datuk Seri Aliff Syukri

Belum reda dengan kes Da'i Syed, timbul pula kontroversi baharu melibatkan usahawan Datuk Seri Aliff Syukri dengan seorang gadis yang mengalami masalah obesiti iaitu Nurul Airawani Nazira Ibrahim, 23, atau lebih dikenali sebagai Wani Comel.

Wani mendakwa Aliff gagal melaksanakan janji untuk memberikannya rumah, kereta dan belanja harian selepas menandatangi kontrak sebagai duta produk pelangsingan keluaran usahawan itu.

Susulan dakwaan tersebut, Aliff tampil dengan kenyataan balas mengatakan dia tidak pernah menabur janji manis kepada Wani dan segala tuntutan gadis itu pada dasarnya tidak pernah dinyatakan dalam kontrak yang ditandatangani kedua-dua pihak.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya tak pernah janji bulan dan bintang... kalau betul boleh tuntut di mahkamah” - Aliff Syukri yakin ada pihak ‘cucuk’ Wani Comel

Tambah Aliff, dia sudah menanggung segala kos termasuk terapi kaki, makan dan tempat tinggal sepanjang Wani melakukan pembedahan pintasan usus itu di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur, tahun lalu.

Aliff juga tidak menolak tindakan Wani itu didorong oleh individu lain yang cuba menjatuhkan dirinya atas sebab tertentu.

Wani Comel menandatangani kontrak menjadi duta produk pelangsingan yang diusahakan Aliff Syukri.

Menurut Aliff lagi, dia tidak teragak-agak untuk membawa perkara ini ke muka pengadilan bagi membersihkan namanya.

Beberapa hari selepas pendedahan dibuat Wani, dia dimasukkan ke Hospital Putrajaya akibat jangkitan kuman pada paru-paru selain menghidap komplikasi jantung bengkak.

Menurut gadis yang pernah mengalami masalah berat badan mencecah 300 kilogram itu, sebelum ini dia tidak pernah mempunyai penyakit jantung dan terkejut apabila dimaklumkan menghidap komplikasi jantung bengkak dan lemah.

8. Isu bantuan artis semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Pengumuman kerajaan mengenai pelaksanaan PKP di seluruh Malaysia menyebabkan ramai selebriti tidak mampu meneruskan kerjaya seni sehingga mereka turut berdepan masalah kewangan.

Isu ini mula menjadi perdebatan hebat netizen apabila penyanyi Black menerusi laporan sebuah akhbar pada 25 Mac lalu meminta kerajaan membantu penggiat seni yang terjejas akibat lanjutan PKP itu.

Pandangan disuarakan Black timbul rasa kurang senang masyarakat.

Pandangan yang disuarakan Black itu menimbulkan rasa kurang senang netizen kerana beranggapan kerajaan harus mengutamakan rakyat yang lebih susah dan memerlukan berbanding selebriti.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya bukan bodoh sangat... dah tunjuk mewah lepas tu nak minta bantuan” - Black Hanifah bengang dituduh suka meminta

Selain Black, beberapa rakan artis yang menyuarakan pendapat sama turut dikecam antaranya Tomok, Shuib, Fizo Omar dan Achey.

Bagaimanapun, Black tampil menjelaskan kenyataannya itu mewakili anak-anak seni yang berdepan kesempitan hidup akibat ketiadaan kerja kerana wabak Covid-19.

Seniman buat laporan polis terhadap seorang selebriti.

Rentetan isu ini, pelakon Zarina Anjoulie pula lantang menegur sikap sesetengah artis yang mengamalkan gaya hidup mewah dan suka menunjuk-nunjuk namun tetap merayu bantuan kerajaan.

Gara-gara teguran pedas itu, dia mendedahkan namanya menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan artis menerusi aplikasi Telegram yang diwujudkan oleh satu persatuan anak seni.

ARTIKEL BERKAITAN: “Busuk hati sampai nak tutup IG aku, korang dah lebih!” - Zarina Anjoulie, artis senior terus ‘perang’

Dakwaan itu menyebabkan timbulnya perang mulut di antara Zarina dan beberapa artis senior dan isu ini berlanjutan sehingga Mei.

Pada 25 Jun, Zarina membuat tuntutan saman terhadap salah seorang pelakon senior iaitu Amyza Aznan yang didakwa menggunakan kata-kata kesat, memfitnah dan memalukan dirinya apabila menyelar perbuatan artis tempatan memohon Bantuan Prihatin Nasional (BPN) oleh kerajaan berikutan wabak Covid-19.

Sehingga kini, isu tuntutan saman berakhir tanpa sebarang tindakan dan masing-masing meneruskan karier seni seperti biasa selepas kerajaan membenarkan penggambaran drama bermula 10 Jun lalu.

9. Mira Filzah kahwin anak ahli politik

Perkahwinan pelakon Mira Filzah dan Wan Emir Astar berlangsung penuh gilang gemilang di Pusat Konvensyen Sime Darby di Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada 3 September lalu.

Beberapa bulan sebelum itu, spekulasi mengenai hubungan mereka mula menjadi perbualan apabila pasangan ini kali pertama dilihat berada dikhalayak ramai semasa majlis resepsi perkahwinan pelakon Farah Nabilah pada Januari lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Wedding of the year! Mira Filzah selamat bergelar isteri Wan Emir Astar

Mira bagaimanapun tetap mengunci mulut mengenai perhubungan mereka dan membiarkan peminat terus berteka-teki mengenai statusnya dengan lelaki pilihan hati sehinggalah dia mengakui sudah bertunang dan merancang untuk berkahwin semasa bersiaran langsung di Facebook Ustazah Asma’ Harun pada Ramadan lalu.

Mira bersama suami tersayang Wan Emir Astar.

Bagaimanapun, Mira tidak berkongsi maklumat lanjut mengenai siapakah gerangan bakal suami dan merahsiakan mengenai hari bahagianya itu.

Pada 16 Julai, teka-teki itu akhirnya terjawab apabila Ahli Parlimen Kuala Kangsar yang juga Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datin Mastura Mohd Yazid mengesahkan anaknya, Wan Emir bakal melangsungkan pernikahan dengan Mira Filzah.

Perkahwinan Mira dan Emir digelar Wedding Of The Year kerana disiarkan secara langsung di TV3 dan diadakan meriah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

10. Sandra Dianne meninggal dunia dalam kemalangan dan anak seni lain yang 'pergi' sepanjang 2020

Pemergian beberapa anak seni sepanjang tahun 2020 mengejutkan ramai peminat. Antara yang paling diingati ialah penyanyi Sandra Dianne yang meninggal dunia ketika dia sedang menyertai program realiti Big Stage 2020.

Sandra atau nama sebenarnya Alessadra Dianne Ampuria, 26, yang dikenali dengan lagu Hey Kau dikatakan mengalami kegagalan fungsi otak akibat kemalangan jalan raya semasa dalam perjalanan ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) untuk sesi latihan rancangan itu pada 5 September lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Penyanyi Sandra meninggal dunia selepas 6 hari bertarung nyawa di ICU

Selepas enam hari ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), Sandra akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada 11 September.

Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kauluan, Tuaran, Sabah. Pemergian Sandra benar-benar meninggalkan kesan mendalam terhadap peminat industri seni tanah air.

Pemergian Sandra mengejutkan ramai peminat kerana dia sedang bertanding dalam program Big Stage 2020.

Selain Sandra, penyanyi Mya Ruslee atau lebih dikenali Maya Matahari turut menemui pencipta pada 18 Mac lalu.

Mya dilaporkan meninggal dunia akibat penyakit kanser tisu yang dihidapi olehnya sejak beberapa tahun lalu.

Allahyarham yang berusia 44 tahun menyembunyikan penyakitnya itu dan enggan penderitaannya dihebahkan kepada peminat, media dan masyarakat.

Maya Matahari rahsiakan mengenai penyakit kanser yang dihidapinya.

Allahyarham pernah menyertai pertandingan Gegar Vaganza musim kelima pada tahun 2018. Arwah selamat dikebumikan di kampung halamannya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Setia Jaya, Machap, Johor.

Sementara itu, industri turut kehilangan beberapa nama besar antaranya pelawak senior Pak Lah Cecupak atau nama sebenarnya Noor Affendi Nurdin, 53 yang meninggal dunia akibat kanser usus pada 21 November lalu.

Pelakon veteran, Datuk Zulkifli Zain, 76, pula meninggal dunia akibat komplikasi pelbagai penyakit di kediamannya di Ukay Perdana, Hulu Klang, dekat sini, pada 5 September lalu.

Beberapa hari kemudian, pelakon drama 7 Hari Mencintaiku 2 yang terkenal dengan watak Pak Andak iaitu Idris Mat Diah, 61, pula meninggal dunia di kediamannya di Putrajaya pada 14 September.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain