suria

[VIDEO] Jenazah Jamali Shadat selamat dikebumikan - “Arwah pesan jangan malukan keluarga”

CUACA cerah mengiringi majlis pengebumian pelawak terkenal era 80an, Datuk Jamali Shadat di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah.

Jenazah selamat dikebumikan kira-kira pukul 3.50 petang, Rabu selepas dimandi dan disolatkan di rumah anak keenamnya, Fauzi Jamali, 49.

ARTIKEL BERKAITAN: Jamali Shadat meninggal dunia... tiada lagi keletah ‘Atan’

Antara yang hadir mengiringi perjalanan terakhir Jamali ialah keluarga terdekat termasuk anak-anak serta cucu-cucunya.



Jenazah Jamali disolatkan di rumah anaknya, Fauzi Jamali.

Menurut Fauzi, kesihatan arwah bapanya mula merosot sejak tiga minggu lalu.

"Dia tak ada sebarang penyakit kronik. Cuma sejak arwah ibu meninggal dia mula mendiamkan diri.

"Tiga minggu lepas kesihatan dia mula merosot, selera makan pun juga menurun.

"Sebelum ini dia masih boleh duduk," katanya ketika ditemui mStar.

Ditanya apakah pesanan ketika hayat arwah yang masih diingatinya, Fauzi berkata bapanya sering mengingatkan agar sentiasa menjaga nama baik keluarga.

"Dia pesan jaga diri, jaga keluarga serta jangan tinggal solat.

"Dia juga pesan kena rajin kerja dan jangan malukan keluarga," katanya.

Terdahulu Jamali yang terkenal menerusi watak kanak-kanak bernama 'Atan' meninggal dunia kira-kira pukul 8.15 pagi akibat sakit tua.

Seniman kelahiran Bukit Kapar, Klang itu mula uzur sejak kematian isteri, Allahyarham Lela Yacob akibat serangan angin ahmar pada Jun 2018.

Allahyarham Jamali mempunyai lapan anak dan 39 cucu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain