suria

“Saya kena belajar terima kritikan dengan hati terbuka... tak boleh letak diri bagus” - Janna Nick kini bergelar pengarah

Janna teruja telefilem pertama arahan dan terbitannya berjudul Delen menemui penonton Sabtu ini.

GENAP 10 tahun pembabitannya dalam industri seni, pelakon Janna Nick meluahkan rasa teruja apabila dapat melebarkan sayap ke bidang pengarahan dan penerbitan.

Menurut Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, 26, percubaannya mengarah dan menerbitkan telefilem pertama berjudul Delen merupakan satu pengalaman cukup bermakna buatnya sebagai seorang anak seni.

"Memulakan bidang pengarahan dan penerbitan membuka pengalaman baharu untuk saya melihat skop pekerjaan dunia hiburan dengan lebih serius dalam perspekif lebih besar.

ARTIKEL BERKAITAN: Janna Nick menangis mengaku silap gaduh dengan netizen - “Bodohnya la aku... saya mengaku bodoh, loser!”

"Sebelum ini tanggungjawab saya sebagai pelakon saja, tapi apabila menjadi pengarah dan penerbit, saya kena rasa dan lalui semua perkara. Dalam masa sama, saya melihat ia memberi kesan dari segi kerjaya lakonan yang mana saya perlu lebih peka terhadap kerja pengarah dan penerbit.

"Apabila duduk di kerusi pengarah juga, baru saya rasa macam mana kalau pelakon tidak memberi, sekarang baru faham setiap pengarah ada look dan feel yang mereka mahukan kerana pemahaman pelakon dan pengarah tak sama," katanya.



Janna sudah pasang angan-angan sejak awal lagi untuk bergelar pengarah dan penerbit.

Sementara itu, pelakon drama Marry Me Senorita ini berkata penghasilan telefilem itu bukan sekadar satu percubaan sebaliknya dia serius untuk terus menghasilkan lebih banyak karya berkualiti selepas ini.

"Alhamdulillah, tahun ini genap 10 tahun dalam industri... kalau nak mengarah saya diakui memang tidak kelulusan itu, tapi saya ada dari segi pengalaman. Dari awal lagi masuk industri saya memang niat dan bercita-cita mahu menjadi pengarah.

"Malah, saya masuk industri pun mahu serius dalam bidang ini. Bukan nak kejar populariti dan glamor saja. Jadi, tidak salah untuk saya mencuba dan meneroka bidang baharu pula. Apabila saya menerbit dan mengarah telefilem ini, ia bukan satu percubaan dan saya takkan berhenti.

Saya kena belajar terima kritikan dengan hati terbuka. Saya tidak boleh letakkan diri bagus!

JANNA NICK

PELAKON

"Saya sudah bersedia bergelar penerbit atau pengarah, sebab itu saya mencabar dan memberanikan diri menerbitkan telefilem di bawah syarikat sendiri. Kalau nak mengharap penerbit lain ambil saya mengarah mungkin lambat lagi, jadi saya kena melabur sendiri.

"Ini bukan soal mencari keuntungan, tapi ia lebih kepada kepuasan. Malah, saya boleh tentukan apa yang saya nak dalam setiap karya dihasilkan. Mungkin kalau dengan produksi lain akan ada kekangan," katanya.

Sementara itu, pengacara program hiburan Melodi TV3 ini berkata dia terbuka menerima kritikan penonton dan bersedia memperbaiki kualiti pengarahannya dalam karya yang akan datang.



Janna akui bukan mudah mengarahkan telefilem kerana dia perlu berinteraksi dengan banyak pihak.

"Mengarahkan pelakon, jurukamera dan kru berpengalaman sangat mencabar, sudah tentu mereka akan berfikir apa kredibiliti yang saya ada, jadi ini memang mencabar dan menjadi satu cabaran buat saya kerana tanggungjawab besar.

"Memandangkan Delen adalah buah tangan pertama syarikat saya, jadi, saya perlukan kritikan semua orang untuk saya memperbaiki dan meningkatkan lagi kualiti kerja. Sekali gus saya dapat idea dari kritikan semua. Termasuklah, saya juga boleh tahu drama macam mana yang mereka nak tonton.

"Saya kena belajar terima kritikan dengan hati terbuka. Saya tidak boleh letakkan diri bagus. Saya akan terus belajar, lebih baik tegur dan kritik sekarang daripada tidak ada langsung," katanya.

Telefilem Delen menampilkan kisah cinta remaja antara Delen (Sean Lee) dan Robert (Dini) yang merebut cinta Emily (Janna). Robert menganjurkan pertandingan berenang dan meletakkan syarat pemenang pertandingan itu akan berjaya memiliki cinta Emily.

Telefilem terbitan syarikat milik Janna iaitu Janna Nick Studios itu bakal ditayangkan menerusi saluran Astro Citra pada Sabtu ini.

Selain Janna, ia turut menampilkan Sean Lee, Sherry Al Hadad, Mark Adam, Joey dan Dini Schatzmann.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain