suria

Isteri kongsi kenangan kumpulan Bocey, pernah bimbang Achey tak diterima kerana sudah berkahwin - “Aku kadang-kadang cemburu melihat rapatnya mereka”

Bocey dianggota oleh Achey, arwah Abam dan Fad.

BERKONGSI mengenai perjalanan kumpulan Bocey, isteri kepada pelawak Achey iaitu Anne mengakui dia merupakan salah seorang saksi yang melihat kepayahan, cabaran dan persahabatan antara suaminya, Fad dan Allahyarham Abam.

Anne atau nama sebenarnya Nor Hasanah Yahaya, berkata biarpun ketika itu Achey sudah berkahwin namun Fad serta arwah Abam tetap menerima suaminya dan menganggap mereka seperti adik-beradik.

ARTIKEL BERKAITAN: Genap setahun Abam pergi... Fad (Bocey) masih rindu, terngiang-ngiang gelak arwah - “Bila kau pakai baju ni dulu aku selalu bahan kau”

Pertama kali bergandingan di pentas Maharaja Lawak Mega (MLM) pada 2012, Anne berkata dia dan pelawak Ali Puteh serta Angah Rosdi sahaja yang menjadi penyokong kumpulan Bocey ketika itu.



Anne berkongsi perkara itu di laman Instagram miliknya.

"Aku salah seorang saksi kepayahan, cabaran, liku-liku perjuangan serta persahabatan mereka. Ingat lagi awal kemunculan mereka berangan-angan nak berada di hati peminat.

"Syukurnya Fad dan Abam dapat terima Achey walaupun statusnya sudah berkahwin... yela keselesaan mereka masa tu mungkin berkawan dengan yang bujang tapi aku silap bila silaturrahim Allah wujudkan dalam hati mereka sangat kuat.

"Mereka berdua layan aku macam adik-beradik. MLM pertama minggu yang pertama, aku ingat lagi... menggigilnya mereka nak berada di pentas besar... masa tu aku dengan @aliputeh_official @angah_rosdi saja penyokong mereka.

"Aku dengan Ali redah saja untuk menjadi penyokong mereka walaupun kerusi penyokong Bocey banyak yang kosong! Kami tak peduli pun. Aku dengan Ali akan menjerit tak tentu hala untuk semangat mereka," tulis Anne.

Dengan membawa semangat mencari rezeki di paras yang tertinggi mereka mahukan.

ANNE

ISTERI ACHEY

Anne berkongsi momen indah kumpulan Bocey itu dengan memuat naik beberapa klip video mereka sepanjang berada dalam industri bagi mengingati Allahyarham Abam yang genap setahun meninggal dunia pada 10 Februari tahun lalu.

Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah, 34, turut memuat naik semula perkongsian itu di laman Instagram miliknya pada Khamis.

Dalam pada itu, Anne mengakui setiap lawak jenaka yang dilontarkan mereka bertiga pada malam tersebut membuatkan dia menangis kegembiraan malah turut menerima sorakan penuh penonton di dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Menurut Anne, hubungan persahabatan yang sangat rapat antara Achey, Fad dan Abam juga membuatkan dia kadang-kala berasa cemburu.



Anne bersama Achey dan anak mereka.

"Setiap lemparan komedi mereka pada malam itu menjadi air mata gembira buat aku sebab setiap punchline mereka bergemuruh satu MBSA! Semua orang suka Bocey.

"Dari situ aku mula nampak yang mereka meletakkan silaturrahim yang hebat untuk bersama di mana sahaja. Dengan membawa semangat mencari rezeki di paras yang tertinggi mereka mahukan.

"Aku kadang-kadang sebagai isteri Achey cemburu melihat rapatnya mereka ini... tapi aku tahu mereka ni bukan sayang antara mereka tapi mereka sayang seluruhnya yang berkaitan dengan mereka," ujarnya.

Pada 10 Februari tahun lalu, Abam atau nama sebenar Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan, 32, meninggal dunia di kediamannya di Gombak, Selangor selepas dua hari mengalami demam panas.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Nor Hidayah dan seorang anak lelaki, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang kini berusia dua tahun.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain