suria

Persenda kes bunuh dengan nama resipi, Maria Tunku Sabri tahu batas bergurau - “Sekarang dah 2021, saya harap orang lebih terbuka fikirannya”

Maria Tunku Sabri dikecam tidak sensitif apabila menjadikan insiden kes bunuh sebagai nama masakannya.

BARU-BARU ini nama bekas personaliti TV, Maria Tunku Sabri hangat diperkatakan selepas didakwa mempersendakan satu kes bunuh yang berlaku di Johor.

Rata-rata netizen menyifatkan Maria, 46, sebagai individu yang tidak sensitif apabila menjadikannya kes tersebut sebagai salah satu nama resipi masakannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami jadi suspek utama kes tembak mati isteri, mayat dimasukkan dalam tong biru

Menjawab kecaman itu, Maria mengatakan dia tidak berniat untuk mempersendakan kematian seseorang sebaliknya hanya ingin memberikan nasihat secara berlapik kepada wanita di luar sana agar tidak tersalah memilih suami berdasarkan kepada kes yang dikongsikannya itu.

"Sebagai bekas pembaca berita, saya memang rasa terpanggil untuk berkongsikan apa-apa sahaja berita terkini yang berlaku dalam negara kepada pengikut saya.

"Rata-rata pengikut saya ini sibuk dan tak sempat nak baca berita, jadi dengan mengikuti laman Instagram saya, mereka dapat baca berita-berita yang sedang hangat berlaku dalam negara kita.

"Saya memang tidak berniat langsung hendak mempersendakan kematian orang lain, sebaliknya saya hanya berkongsikan artikel insiden itu dan meletakkan nasihat kepada wanita di luar sana agar berhati-hati dalam memilih suami, itu sebenarnya niat saya," katanya kepada mStar.

Kalau saya mati nanti, saya pun tak nak kematian saya dipersendakan dan ahli keluarga saya dicerca orang lain.

MARIA TUNKU SABRI

BEKAS PERSONALITI TV

Maria ditemui pada majlis pelancaran program amal Infaq Ramadan #Sama-Sama Kenyang yang berlangsung di Hotel Eastin, Petaling Jaya pada Khamis.

Maria bekerjasama menerusi program amal Infaq Ramadan yang dianjurkan oleh pelakon, Putra Amaris.

Sebelum ini, Maria dilihat menamakan masakannya sebagai 'suami tembak isteri sumbat dalam tong sekali dengan sayur sampur special' yang dimuat naik di laman Instagramnya.

Nama tersebut dipercayai merujuk tentang satu kes jenayah membabitkan kematian tragis seorang isteri yang dibunuh suami sendiri di Kota Tinggi, Johor pada 5 Mac lalu.

Menurut bekas personaliti TV3 itu lagi, sebagai seorang umat Islam dia tahu batas-batas dalam bergurau dan sama sekali tidak bermaksud untuk mencerca kejadian tersebut.

Posting di Instagram Maria yang dikecam netizen.

"Saya ni ada akal, bukan nak kata saya ni baik sangat tapi saya tahu apa batasan-batasannya dalam bergurau.

"Kalau saya mati nanti, saya pun tak nak kematian saya dipersendakan dan ahli keluarga saya dicerca orang lain. Takkanlah saya nak buat begitu pada orang lain.

"Kalau anda nampak apa yang sangat post itu sesuatu yang positif, ia akan jadi positif. Sekarang dah 2021, saya harap orang akan lebih terbuka fikirannya dan tidak lagi salah faham dengan entri yang saya muat naik di laman sosial," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain