suria

“Tiada lagi abah…” - Bapa Achey meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri sejak pagi Khamis

Bapa Achey menghembuskan nafas terakhir pada tengah malam Jumaat.

KEBIMBANGAN pelawak Achey menjadi kenyataan apabila bapanya iaitu Hamzah Salam menghembuskan nafas terakhir di Hospital Segamat, Johor pada tengah malam Jumaat.

Achey atau nama sebenarnya, Mohd Nasir Hamzah, 34, berkongsi berita sedih itu menerusi laman sosial Instagramnya dan meminta orang ramai mendoakan kesejahteraan arwah.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa Achey tidak sedarkan diri selepas Subuh, bimbang peristiwa lama berulang - “Saya fobia tahun lepas dalam program yang sama bapa mentua meninggal dunia”

“Tiada lagi abah... tapi abah tetap dalam diri kami. Innalillahiwainailairojiun, ” tulisnya.



Achey berkongsi berita sedih itu di IG.

Allahyarham yang berusia 80 tahun dikejarkan ke hospital pada pagi Khamis selepas tidak sedarkan diri di kediamannya di Segamat, Johor.

"Selalu selepas Subuh, abah akan sambung tidur dan dalam pukul 10 pagi dia akan bangun untuk bersarapan... tapi pagi ini adik yang ada di kampung beritahu dalam group Whatsapp keluarga abah tak sedarkan diri.

"Badannya panas, kaki sejuk... adik-beradik yang ada di kampung terus hubungi ambulans dan bawa abah ke Hospital Segamat. Buat masa ini abah masih belum sedar!

"Saya dimaklumkan abah menerima bantuan pernafasan... keadaan kesihatan abah memang kurang baik selepas kemalangan kira-kira lima tahun lalu, semenjak itu dia tak boleh berjalan dan terpaksa guna kerusi roda," katanya kepada mStar.

Terdahulu, Achey yang kini sedang menyertai pertandingan Muzikal Lawak Superstar musim kedua mengakui trauma kerana pernah menerima berita sedih kehilangan bapa mentua semasa menyertai program sama tahun lalu

Allahyarham berdepan masalah kesihatan selepas mengalami cedera para akibat kemalangan jalan raya pada Oktober 2016.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain