PELAKON Izara Aishah berpendapat jumlah tontonan sesebuah drama atau filem bukan bergantung kepada pelakon yang mempunyai ramai pengikut atau followers di laman sosial. Menurut Izara, pelakon yang mempunyai pengalaman dan berbakat seperti Sharifah Amani juga mampu menarik ramai penonton disebabkan naskhah yang bagus bukan hanya dinilai mengikut media sosial. ARTIKEL BERKAITAN: Izara Aishah bingung ramai ‘Instafamous’ dah jadi pelakon - “Stesen TV semakin tiada bajet sebab Covid-19 ke?” Bagi aktres berusia 29 tahun ini, pihak produksi perlu mengikut cara yang betul seperti melakukan uji bakat untuk memilih pelakon yang bukan sahaja berbakat malah mempunyai disiplin yang baik. Status yang dimuat naik Izara pada Rabu. "Bagi saya, walaupun ramai followers di laman sosial, tidak semestinya membantu dari segi tontonan yang tinggi di TV. Kadang-kadang pengikut dia bukan pun tengok sangat. "Sebagai contoh, kalau ambil Sharifah Amani, tengok berapa ramai akan tengok cerita itu... sangat berbeza. Sebenarnya tidak boleh menilai dengan melihat pengikut sahaja. Ia tidak berkesan. "Saya bukan tidak bersetuju dengan cara pemilihan itu... boleh sahaja pilih sesiapa sahaja yang nak untuk dijadikan pelakon tapi biarlah melalui uji bakat. Buat dengan cara yang betul. "Uji bakat dahulu dan siapa betul-betul ada bakat dan lakonannya mantap serta mempunyai displin, ambil la. Tapi janganlah main pilih sebab pengikut ramai dan ada rupa tapi tak ada bakat langsung," katanya kepada mStar. Pelakon baharu pun perlulah usaha sendiri dengan memasuki kelas lakonan untuk sentiasa kekal dalam industri. IZARA AISHAH PELAKON Izara yang ditemui di majlis pelancaran lagu dan produk minuman penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza di Skyglass, Cyberjaya pada Khamis diminta mengulas mengenai status yang dikongsikan di Twitter pada Rabu. Menerusi status tersebut, Izara mempersoalkan tindakan stesen TV yang lebih memilih Instafamous atau influencer untuk tawaran berlakon disebabkan bayaran yang murah. Dalam pada itu, pelakon drama siri Ombak Rindu The Series ini berharap sesiapa sahaja tidak kira Instafamous yang ingin menjadi seorang pelakon menjaga disiplin dan lebih serius dalam bidang tersebut. Izara harap pelakon baharu belajar untuk lebih serius dalam dunia lakonan. "Saya harap sekarang ini, sesiapa yang nak jadi pelakon... serius la dalam bidang lakonan, jaga disiplin dan buat betul-betul. Saya nak mereka bersungguh-sungguh sebab ada segelintir mereka hanya main-main sahaja. "Untuk kami yang memang dalam dunia berlakon ini agak terasa sikit sebab kita bersungguh-sungguh kerja di set tapi ada antara mereka ini tak seperti itu dan rasa macam tak best la. "Bukan sahaja untuk instafamous tapi untuk sesiapa sahaja nak jadi pelakon... pastikan jadi pelakon yang nak belajar untuk menjiwai watak atau karekter, jangan nak jadi pelakon yang tak serius. "Pelakon baharu pun perlulah usaha sendiri dengan memasuki kelas lakonan untuk sentiasa kekal dalam industri. Bukan hanya ada sekejap, lepas itu tenggelam,"ujarnya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar! TONTON VIDEO PILIHAN!