suria

Awie ada cara sendiri belajar ilmu agama, tapi bukan sertai tabligh -  “Kalau pergi sampai 44 hari siapa nak bagi anak isteri saya makan?”

Awie menghormati pendirian mana-mana selebriti yang menyertai jemaah tabligh.

SEJAK kebelakangan ini ramai selebriti dilaporkan mula mengikuti jemaah tabligh bagi mendalami ilmu agama selain mendekatkan diri ke jalan Allah.

Penyanyi Datuk Awie, 53, juga tidak ketinggalan diajukankan soalan oleh peminatnya di media sosial selepas beberapa rakan artis seangkatan dengannya serta selebriti yang lebih muda dilihat berhijrah dengan mengikuti kumpulan tabligh.

ARTIKEL BERKAITAN: Alhamdulillah! MK K-Clique pula terbuka hati sertai tabligh, belajar agama... mula tanggal rantai, gelang emas

Mengulas mengenai perkara itu, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman berkata, cara dan jalan hidup seseorang tidak boleh ditentukan oleh sesiapa melainkan individu itu sendiri.

Selain sambal, Awie turut mengeluarkan produk Ayam dan Kambing Perap.

"Siapa mereka nak tentukan jalan orang. Kalau saya pergi (ikuti jemaah tabligh), sampai 44 hari siapa nak bagi anak isteri saya makan.

"Saya bukan nak menyalahkan sesiapa, ikut merekalah nak ikut jalan mana nak mencari ilmu Allah.

"Adakah kita perlu duduk dalam pertubuhan untuk cari jalan Allah? (Pendapat saya) lebih baik kita duduk berteleku mencari guru, one to one... tak faham boleh tanya orang," katanya kepada mStar.

Awie ditemui pada majlis pelancaran produk sambal keluarannya, R-WE yang diadakan di Petaling Utama Avenue, Petaling Jaya pada Rabu.

Kalau saya pergi (ikuti jemaah tabligh), sampai 44 hari siapa nak bagi anak isteri saya makan.

DATUK AWIE

PENYANYI

Tambah vokalis kumpulan Wings itu, dia tidak berniat untuk memperlekeh pertubuhan tabligh sebaliknya menghormati setiap jalan hidup yang dipilih oleh mana-mana pihak terutama dalam kalangan rakan artis.

"Saya tidak membangkang sebab kita masing-masing ada jalan tersendiri (dalam mencari ilmu agama) dan kita perlu menghormatinya.

Tak semestinya kita berpakaian sebegini, kita tak nak jumpa Tuhan. Adakah kita perlu ikut cara orang Pakistan, cara orang Arab seperti berjanggut, berjubah dan berserban itu baru kita nampak suci?" ujarnya.

Awie menunjukkan kepakarannya dalam bidang masakan.

Sebelum ini dilaporkan penyanyi muda, MK daripada kumpulan K-Clique keluar selama tiga hari bersama jemaah tabligh ke Jerantut, Pahang.

Turut sama ialah pelakon Mas Khan.

Dalam pada itu, Awie kini berjinak-jinak dalam bidang perniagaan produk makanan sambal yang didatangkan dalam empat variasi iaitu Sambal Merah, Sambal Ikan Sepat Masin, Sambal Ikan Kembung Masin dan Sambal Paru yang mula diedarkan pada Rabu.

Bercerita tentang 'kegilaannya' terhadap lauk berasaskan sambal, bapa kepada enam cahaya mata ini berkata sejak keruntuhan rumah tangga kedua, dia mula belajar memasak kerana ingin menyediakan air tangan masakannya kepada anak-anak.

"Saya tak suka bagi masakan pembantu rumah untuk anak-anak makan. Sejak situ saya mula belajar masak sambal.

"Apabila kita suka makan sesuatu, mesti kita akan ada usaha untuk belajar dan disebabkan itu sekarang saya dah mahir dalam masakan sambal dan ia diterjemahkan dalam bisnes produk makanan saya ini," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain