suria

Shuk Sahar serik, janji tak curang lagi - “Duit simpanan habis ubah suai rumah... tawaran program TV pun ditarik semula”

Shuk bersyukur dapat isteri dan keluarganya semula.

EPISOD kes curang Shuk Sahar cukup memberi kesan kepada kehidupan pelawak itu apabila namanya kini seakan hilang daripada 'radar' dunia hiburan.

Gara-gara kontroversi tersebut, Shuk atau nama sebenarnya Mohammad Shukri Mohamed Sahar mengakui pendapatan utamanya terjejas selepas kontrak di stesen radio Hot FM ditamatkan dua tahun lebih awal.

ARTIKEL BERKAITAN: Dihina tiada 'job', Shuk Sahar jumpa pemuda serang gerai minuman - “Saya provok dia dengan kata-kata yang tidak sepatutnya”

Menganggap apa yang berlaku sebagai 'harga yang perlu dibayar', Shuk tetap bersyukur kerana hubungan dia dengan isteri, Rossalennah Natassyiah Asshaferah serta ahli keluarga yang lain kembali rapat.

Kontrak Shuk ditamatkan gara-gara kontroversi berlaku curang.

"Ya, sudah tentu saya tak akan melakukan perkara sama (curang). Apa yang berlaku itu benar-benar memberi kesan kepada kehidupan saya. Sejujurnya, saya jatuh terduduk... boleh dikatakan saya hilang gaji setahun selepas diberhentikan daripada stesen radio.

"Kebetulan pula, duit simpanan saya sudah habiskan untuk ubah suai rumah sebab ingatkan kontrak dengan radio akan tamat 2023. Bukan sahaja saya hilang kerja di radio, tapi beberapa tawaran untuk program TV pun ditarik semula.

"Tapi saya tetap bersyukur sebab selepas apa yang terjadi, hubungan dengan isteri semakin rapat. Saya juga dapat semula keluarga. Saya anggap kehilangan beberapa tawaran kerja adalah harga yang perlu saya bayar," katanya kepad mStar.

Jika kena pada batang hidung sendiri, saya tak tahu dapat jadi sekuat dia atau tidak.

SHUK SAHAR

PELAWAK

Pelawak berusia 35 tahun itu ditemui ketika majlis pembukaan cawangan pertama kafe air minuman dan manisan, Semooth di Wangsa Maju pada Isnin.

Krisis rumah tangga dan isu curang melibatkan Shuk akhirnya memakan diri apabila siasatan dalaman pihak pengurusan stesen itu mendapati dia bersalah dan ditamatkan kontrak serta-merta pada 18 Februari lalu.

Sebelum ini, isteri kepada Shuk iaitu Rossalennah atau mesra disapa sebagai Sera mendedahkan suaminya itu masih lagi menjalinkan hubungan dengan wanita lain.

Pada 8 Februari lalu, pelawak kumpulan Masyuk ini berjaya memujuk isterinya selepas membuat kejutan membawa rombongan meminang ke kediamannya.

Shuk dan isteri mempunyai dua orang anak.

Dalam pada itu, Shuk mengakui isterinya seorang wanita yang kuat biarpun berdepan dengan pelbagai kecaman daripada netizen selepas kontroversi tersebut.

"Apa yang boleh saya katakan, Sera seorang wanita yang kuat dan saya tak pernah salahkan dia atau sesiapa dengan apa yang berlaku. Malah saya letak semua kesalahan atas diri saya.

"Jika kena pada batang hidung sendiri, saya tak tahu dapat jadi sekuat dia atau tidak. Tapi seperti yang semua tahu, Allah SWT hanya akan uji seseorang itu mengikut kemampuannya," ujarnya.

Shuk mendirikan rumah tangga dengan isterinya pada 2015 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Nur Qurratu Ain, 4, dan Nur Assyifatu Aimi yang kini berusia setahun.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain