suria

Coki dapat pesanan misteri, tak ‘order’ tapi COD makanan sampai depan rumah - “Saya terpaksa bayar tempahan yang banyak tu”

Coki minta pihak yang membuat pesanan palsu berhenti berbuat demikian.

PELIK bercampur marah, itulah perasaan personaliti media sosial Coki apabila beberapa kali menerima penghantaran makanan daripada pesanan palsu yang dibuat oleh individu tidak bertanggungjawab.

Menurut Coki atau nama sebenar Muhammad Danish Daniel, 16, individu itu membuat pesanan palsu menerusi aplikasi penghantaran makanan ke rumah di Kedah dengan terma yang memerlukan bayaran selepas penghantaran atau cash on delivery (COD).

Meskipun bengang dengan perkara itu, Coki berkata dia tetap membayar kos makanan tersebut kerana enggan menyusahkan penghantar makanan dan pemilik restoran.

ARTIKEL BERKAITAN: Coki tak main-main, serius mahu tunjuk bakat lakonan - “Saya tak anggap diri sebagai instafamous tapi pendatang baharu”

"Sejak Isnin lalu saya menerima tempahan makanan menggunakan nama dan alamat saya... hari itu sahaja tiga kali rider hantar makanan di rumah! Padahal saya tak order pun tapi terpaksa bayar tempahan yang banyak itu.

"Saya bukan mempersoalkan mengenai bayaran makanan yang dihantar tetapi bengang dengan tindakan tidak bertanggungjawab individu berkenaan kerana ia boleh menyusahkan banyak pihak.

coki 1

Pesanan makanan itu dihantar ke rumah keluarganya di Kedah.

"Kalau sekali tak apa, ini berkali-kali dia buat pesanan palsu! Saya pun hairan macam mana mereka boleh tahu alamat lengkap rumah saya di kampung, siap nombor telefon dan sebagainya," katanya kepada mStar.

Berang dengan tindakan individu berkenaan, Coki berkata bapanya, Shamsaini Ezil sudah membuat laporan di sebuah balai polis di Changlun, Kedah.

Kalau nak bergurau sekalipun ada batasnya... janganlah sampai aniaya orang lain!

COKI

PELAKON

Coki yang berada di kampung halaman sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mei lalu memberitahu laporan itu bertujuan untuk keselamatan diri dan keluarga.

"Ayah saya buat laporan polis kerana bimbang keselamatan dan sebagai tindakan susulan jika kejadian ini masih berulang... sebabnya semakin kami diam benda ni makin menjadi-jadi.

Screenshot 2021-08-18 at 9.03.06 PM

Bapa Coki buat laporan polis pada Rabu.

"Kita dah semak nombor telefon yang digunakan semasa mendaftar di aplikasi berkenaan dan aduan juga sudah dibuat.

"Kalau nak bergurau sekalipun ada batasnya... janganlah sampai aniaya orang lain. Ia bukan sahaja menyusahkan saya, malah penghantar makanan dan pemilik kedai makan.

"Apa-apa pun saya memohon maaf jika ada salah silap dengan mana-mana pihak atau individu... tapi tolonglah jangan ulangi lagi benda macam ni," ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan