suria

Ramai serbu ‘barber shop’ Mustaqim Bahadon, lega kembali operasi selepas 4 bulan tutup - “Rambut masing-masing dah macam semak samun”

Mustaqim bersyukur kedai gunting rambut miliknya kembali beroperasi sejak Isnin lalu.

KEBENARAN kerajaan membenarkan beberapa sektor ekonomi kembali beroperasi sejak Isnin lalu melegakan ramai pihak terutamanya mereka yang terbabit dalam perniagaan berkenaan.

Salah seorang pelakon iaitu Mustaqim Bahadon, 35, turut menarik nafas lega apabila kedai gunting rambut miliknya akhirnya dibenarkan untuk beroperasi semula.

Pemilik Shortea Barbershop ini meluahkan rasa syukur apabila dapat kembali mencari rezeki selepas hampir empat bulan menutup kedai miliknya yang terletak di Setapak, Kuala Lumpur itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak sampai seminit tanggal pelitup muka depan kedai, Mustaqim Bahadon kena kompaun langgar SOP - “Memang salah saya... melayang RM1,000”

"Alhamdulillah kedai dah boleh buka semula selepas berbulan ditutup... saya akui agak terkesan bila kedai kena tutup, iyalah kita semua tak boleh berniaga.

"Walaupun kedai tutup tapi sewa tetap kena bayar. Syukurlah saya ada buat bisnes online, bolehlah tolong cover kos lain. Apabila dah dibenarkan ringan sikit beban nak bayar sewa dan gaji staf.

mustaqim 2

Mustaqim hanya benarkan pekerja dan pelanggan yang sudah lengkap dua dos vaksin.

"Hari pertama dibuka ramai pelanggan yang datang, rambut masing-masing pun dah macam semak samun termasuklah rambut saya sendiri," katanya kepada mStar.

Pada Isnin lalu, kerajaan bersetuju memberikan kemudahan dalam sektor perdagangan dan pengedaran melibatkan 11 jenis aktiviti ekonomi yang akan dibenarkan kembali beroperasi di negeri-negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

SOP kali ini lebih ketat, pelanggan kena tunjuk profil mySejahtera. Alhamdulillah sejak tiga hari lepas memang ramai pelanggan datang.

MUSTAQIM BAHADON

PELAKON

Selain kedai gunting rambut atau salon, perniagaan lain yang dibenarkan operasi antaranya ialah kedai cuci kereta, kedai elektrik dan elektronik, kedai barangan rumah, kedai perabot dan kedai pakaian.

Bagi mengelakkan tercetusnya jangkitan Covid-19, Mustaqim berkata dia hanya membenarkan pekerja yang sudah lengkap divaksin bagi mengendalikan pelanggan.

mustaqim 3

Mustaqim tidak sabar untuk kembali ke set penggambaran tidak lama lagi.

"Selain pelanggan, kita juga membenarkan staf yang sudah lengkap vaksin sahaja bekerja... kita ikut saranan kerajaan, jadi dah lengkap dos baru boleh bekerja.

"SOP kali ini lebih ketat, pelanggan kena tunjuk profil mySejahtera. Alhamdulillah sejak tiga hari lepas memang ramai pelanggan datang.

"Cuma kami tak benarkan mereka datang mengejut kerana nak elakkan mereka berkumpul ramai-ramai dalam kedai. Kita minta mereka daftar dahulu, tunggu dalam kereta, bila tiba giliran barulah kita panggil," ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain