suria

Kak KM ditegur ‘hiking’ ketika sarat mengandung… netizen bimbang ada yang memerhati - “Dah biasa masuk hutan, kita pergi siap doa”

Tindakan Kak KM mendaki bukit ketika sedang sarat hamil mengundang teguran netizen.

TINDAKAN usahawan kontroversi, Liana Rosli menyertai aktiviti mendaki bukit atau hiking ketika sedang sarat mengandung tujuh bulan mengundang pelbagai reaksi daripada netizen di laman sosial.

Menyedari bahaya kepada diri dan kandungannya itu, Liana atau lebih mesra disapa Kak KM memberitahu dia mengikuti aktiviti lasak itu kerana ingin memenuhi permintaan anak-anak.

"Cerita sebenarnya, rancangan awal nak mendaki bukit dalam enam kilometer saja, jalan santai-santai... tapi tak sangka la pula tukar laluan 20 kilometer dan kena melalui laluan yang lebih mencabar.

"Jadi nak tak nak kena ikut sajalah sebab dah masuk laluan itu, kena habiskan la. Sebenarnya memang berbahaya untuk saya sampaikan coach (jurulatih) pun terkejut tak sangka saya mampu hiking sebab keadaan perut pun dah besar, tunggu masa nak beranak sahaja.

ARTIKEL BERKAITAN: Umur makin lanjut, Kak KM mula takut orang meluat tengok ‘marketing’ gelek lucah - “Anak dah besar, tengah mengandung pula!”

ARTIKEL BERKAITAN: “Kalau nak kaya kena berani... kena gila!” - Kak KM pertahan teknik marketing melampau boleh cepat buat duit

"Tapi sejujurnya bukan saya nak pergi sangat pun! Anak-anak yang nak pergi, takkan nak biarkan mereka pergi sendiri, jadi saya pun kena ada sekali.

"Lagi pun ada dalam 15 orang ahli keluarga lain yang menyertai hiking itu, mereka pun banyak membantu sepanjang meredah laluan mencabar itu," katanya kepada mStar.

kak km 1

Kak KM dan keluarga buat aktiviti riadah mendaki bukit, baru-baru ini.

Sebelum itu, menerusi Facebook, Kak KM berkongsi video dia menyertai aktiviti hiking di sebuah bukit yang terletak di Ampang, Selangor, baru-baru ini.

Perkongsiannya itu mengundang pelbagai komen daripada netizen dan rata-ratanya menegur tindakan Kak KM melakukan aktiviti lasak yang boleh mendatangkan bahaya kepada dirinya dan bayi dalam kandungan.

Ada juga pengikut memberitahu kawasan hutan tidak selamat untuk ibu mengandung kerana turut didiami oleh makhluk halus.

Saya nak nasihatkan orang yang mengandung janganlah pergi hiking atau buat aktiviti lasak sebab sangat bahaya, lebih-lebih lagi kalau tak biasa!

LIANA ROSLI

USAHAWAN

"Alhamdulillah semuanya baik-baik sahaja, tak ada apa-apa yang jadi. Hantu tu tak ada tapi manusia boleh jadi hantu... kita pun pergi dah siap doa dan ilmu di dada.

"Sejak remaja lagi saya memang selalu join hiking dan kerap masuk hutan, jadi kita tahu apa nak buat... bukan nak cakap besar, cuma dah biasa dalam hutan.

"Kalau kenal saya sebelum ini pun saya memang aktif menari, tak reti duduk diam... makan pula jamu itu agaknya kandungan kuat dan lasak sekali," ujarnya.

kak km 2

Kak KM dah biasa aktiviti lasak dan aktif menari sebelum ini.

Dalam pada itu, anak kepada dramatis Normah Damanhuri ini menasihati ibu hamil lain supaya tidak mengikuti tindakannya itu kerana ia boleh mendatangkan bahaya kepada kandungan.

"Tapi saya nak nasihatkan orang yang mengandung janganlah pergi hiking atau buat aktiviti lasak sebab sangat bahaya, lebih-lebih lagi kalau tak biasa.

"Orang sedang mengandung ni emosi pun tak stabil, badan berat dengan perut ke depan... memang senang penat!

"Apa-apa pun terima kasih kepada mereka yang mendoakan dan beri nasihat kepada saya," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain