suria

[VIDEO] Abang Siti Sarah menyesal percaya dakyah antivaksin, minta maaf hina doktor dan jururawat - “Dah kena baru tahu, kau kencing, berak... dialah yang lap, pakaikan diapers”

Ahmad Firdous berkongsi pengalaman agar boleh dijadikan iktibar kepada orang ramai.

PERNAH dikecam kerana antivaksin, abang kepada Allahyarham Siti Sarah iaitu Ahmad Firdous Raissuddin meminta orang ramai menjadikan kejadian yang menimpa keluarganya sebagai satu iktibar.

Sebulan bertarung nyawa akibat Covid-19, Firdous mengakui menyesal terpengaruh dengan dakyah golongan antivaksin dan akan mengambil suntikan bahan pelali itu selepas paru-paru sembuh daripada jangkitan wabak berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Keadaan Ahmad Firdous merosot, situasi sama seperti arwah Siti Sarah - “Paru-paru dia tak berapa baik”

ARTIKEL BERKAITAN: Abang Siti Sarah kembali sedar selepas sehari ditidurkan, wajah nampak ceria dan tersenyum

"Yang mana orang kata saya antivaksin, tak apa la... itu pengalaman dan pengajaran untuk saya. Saya terima kecaman itu semua.

"Saya berterus terang, walaupun sebelum ini saya antara pengikut antivaksin tapi apabila dah terkena jangkitan baru saya tahu perit untuk melawan Covid-19.

firdous2

Ahmad Firdous ketika menerima rawatan di hospital.

"Kalau esok boleh, esok juga saya mahu pergi cucuk vaksin, tapi doktor sarankan dalam keadaan paru-paru yang belum pulih sepenuhnya, saya perlu tundakan dahulu.

"InsyaAllah lepas sembuh nanti saya nak ambil vaksin. Lagi pun kalau tak vaksin, susah juga nak pergi beli barang-barang," katanya dalam sesi live di Facebook.

Dalam pada itu, Ahmad Firdous berkata, perkongsian yang dibuat itu bukanlah untuk memaksa mana-mana pihak mendapatkan vaksin namun mengingatkan orang ramai agar lebih peka dan bertanggungjawab kepada orang sekeliling.

"Saya tidak mewakili mana-mana pihak, cuma saya ingin berkongsi pengalaman sendiri sahaja. Mana yang tak nak ambil vaksin terpulang kepada anda, tapi saya mahu ingatkan jika dijangkiti, anda akan menjangkiti orang lain yang kita tidak tahu sejauh mana kekuatan antibodi mereka mahu melawan Covid-19.

Yang mana orang kata saya antivaksin, tak apa la... itu pengalaman dan pengajaran untuk saya.

AHMAD FIRDOUS

ABANG ALLAHYARHAM SITI SARAH

"Yang sudah ada dua dos pun jangan riak dan bangga sebab kita boleh jadi pembawa dan menjangkiti orang lain juga.

"Pengalaman yang sangat mengerikan telah berlaku kepada saya, jadi saya cuba bagi iktibar kepada org lain, agar tidak merasa apa yang saya lalui sebelum ini," katanya.

Selain itu, Firdous yang sebelum ini memuat naik beberapa posting dengan dakyah antivaksin juga memohon meminta maaf kepada petugas barisan hadapan.

Dia berterima kasih kepada semua frontliners yang bertungkus lumus menyelamatkan nyawanya sepanjang dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

“Pada mereka yang saya pernah tulis pembunuh la, apa la... saya mohon maaf banyak-banyak pada doktor, dan berterima kasih.

“Mereka bertungkus lumus menyelamatkan nyawa saya ni. Frontliners yang menjaga di ICU saya katil di depan, bayangkan bagaimana mereka bekerja.

firdous

Firdous bersama isteri dan anaknya.

“Yang kita ni pula kata nurse tu nak bunuh kita. Ada nurse tunggu depan kita, apa-apa jadi... kau kencing, kau berak, dialah yang mengelap, pakai diapers. Wad ICU mana ada tandas. Macam mana kita nak hina dia lagi?”

“Tula, apabila dah kena baru tahu. Baru rasa teruklah kita ni menyebar benda tak benar. Tak baik... padahal dia yang tolong kita,” ujarnya.

Pada 10 Ogos lalu, Ahmad Firdous Raissuddin disahkan positif Covid-19 dimasukkan ke Hospital Serdang, Selangor, dia ditidurkan sehari selepas paras oksigennya menurun.

Ahmad Firdous dirawat di hospital selama lebih sebulan dan memaklumkan jangkitan tersebut menyebabkan paru-parunya rosak teruk.

Sebelum itu adiknya, penyanyi Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir pada 9 Ogos disebabkan komplikasi berpunca Covid-19 selepas tiga hari ditidurkan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON SENDIRI VIDEO PENJELASAN FIRDOUS!

Artikel Lain