suria

Azmi Saat bimbang isteri selalu mengigau, menangis sendirian rindukan arwah anak - “Saya lebih sedih memikirkan keadaan dia, risau kesihatan terganggu”

Azmi Saat akan terus berusaha untuk mendapat zuriat sekiranya ada rezeki.

KEHILANGAN cahaya mata sulung selepas tiga hari dilahirkan cukup meninggalkan kesan emosi kepada vokalis Caliph Buskers, Azmi Saat dan isterinya, Naziah Muhammad.

Ujar Azmi atau nama sebenarnya Khairul Azmi Saat, 34, beberapa hari selepas pemergian bayi yang diberi nama Kharul Afnan pada 30 September lalu, isterinya berdepan tekanan.

"Ada masanya kalau dia duduk sendiri tu, dia akan menangis sebab teringatkan anak. Ketika tidur pun dia selalu mengigau hingga saya kena tenangkan dia.

ARTIKERL BERKAITAN: Menitis air mata dengar tangisan bayi, Azmi Saat sebak kenang hampir putus asa tunggu zuriat - “Alhamdulillah, akhirnya Allah bagi”

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Anak Azmi Saat meninggal dunia akibat kegagalan fungsi otak - “Tunggu kami di syurga ya”

"Sejujurnya saya lebih sedih memikirkan keadaan isteri berbanding kehilangan anak. Saya reda dengan pemergiannya, saya perlu kuat untuk isteri... saya risau kesihatan dia terganggu.

"Alhamdulillah sekarang Allah permudahkan urusan isteri, emosi dia juga semakin baik," katanya ketika dihubungi mStar.

242984335_660550764844715_2863813615452615719_n

Keadaan dan kesihatan Naziah Muhammad semakin baik.

Pada 27 September lalu Azmi berkongsi berita gembira apabila isterinya selamat melahirkan zuriat yang ditunggu-tunggu selama 10 tahun secara pembedahan.

Namun kegembiraan itu hanya seketika apabila bayi yang berdepan masalah kegagalan fungsi otak sejak dilahirkan itu meninggal dunia tiga hari kemudian.

Kami akan tetap berusaha dapatkan anak. insyaAllah. Tapi tunggu sampai masing-masing dah sedia dan kalau ada rezeki.

AZMI SAAT

VOKALIS CALIPH BUSKERS

Bercerita lanjut tentang kehidupan dia dan isteri selepas lebih seminggu kehilangan anak tercinta, Azmi berkata dia sudah kembali bekerja.

Namun kata Azmi, dia cuba melapangkan jadualnya pada waktu malam bagi memberi tumpuan kepada isteri yang sedang berpantang.

"Sekarang dah boleh kerja tapi saya hanya ambil waktu siang saja, waktu malam saya nak jaga isteri.

"Walaupun ada mak tolong jaga tapi tak sama dengan suami," katanya.

Tambah Azmi dia dan isteri reda dengan ujian Allah dan akan terus berusaha untuk mendapatkan zuriat pada masa akan datang.

242930075_1167712207049482_5770677999602403462_n

Khairul Afnan meninggal dunia pada 30 September lalu.

"Kami akan tetap berusaha dapatkan anak, InsyaAllah. Tapi tunggu sampai masing-masing dah sedia dan kalau ada rezeki.

"Apa yang terjadi dalam hidup kami ni satu kisah yang tak boleh kami lupakan.

"InsyaAllah saya akan keluarkan lagu berkisarkan perjalanan dan kisah hidup kami yang menanti kehadiran anak namun berakhir dengan kesedihan," ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain